amree06/10/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — Go Hub Capital Berhad menerusi subsidiarinya, NSS IT Solution Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM64.79 juta daripada Tenang Capital Bhd (TCB), anak syarikat milik penuh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Kontrak selama lima tahun itu melibatkan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan bagi Sistem Tiket Bersepadu KTMB, sekali gus dijangka memberi sumbangan kepada pendapatan kumpulan tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, NSS IT menerima surat penganugerahan (LOA) yang bertarikh 30 September 2026 daripada TCB pada 5 Oktober 2026 bagi kontrak berkenaan.
"Kontrak tersebut bermula pada 1 Oktober 2026 dan berakhir pada 30 September 2031, melainkan ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syarat yang dipersetujui," jelas Go Hub.
Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, dengan andaian tiada kelewatan material dalam pelaksanaan jadual yang ditetapkan.

Ujarnya, skop perkhidmatan NSS IT merangkumi pelbagai kerja penyelenggaraan serta sokongan terhadap Sistem Tiket Bersepadu KTMB sepanjang tempoh lima tahun berkenaan.
TCB merupakan anak syarikat milik penuh KTMB yang terlibat dalam aktiviti berkaitan teknologi digital, perniagaan perdagangan dan runcit, penyediaan perkhidmatan kejuruteraan serta pembangunan dan pajakan hartanah industri dan hartanah.
Tambah Go Hub, kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham biasa baharu.
"Lembaga Pengarah juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada kontrak tersebut selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan dan prestasi perkhidmatan," katanya.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang ada kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu, serta Lembaga Pengarah berpandangan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan kumpulan. - DagangNews.com






