liza28/08/2026 - 10:12 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Penambahan simpanan tanah serta pembangunan taman perindustrian di kawasan baharu menjadi antara pemacu utama pertumbuhan AME Elite Consortium Bhd pada masa hadapan, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, AME Elite terlibat dalam pembinaan kilang pembuatan berskala besar dan hartanah perindustrian dengan kepakaran utama mereka bentuk serta membangunkan taman perindustrian.
Kumpulan itu ketika ini mempunyai beberapa projek pembangunan di Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang, termasuk i-TechValley, Northern TechValley @ BKE, i-TechHub di Taman Teknologi Senai dan i-Park @ Coalfield.
Selain projek-projek sedia ada, AME Elite juga mempunyai tanah baharu seluas 31.8 ekar di Senai, Johor, dengan baki nilai pembangunan kasar sebanyak RM350 juta.
RHB Research turut menyenaraikan penambahan simpanan tanah dan taman perindustrian di kawasan di luar Johor sebagai antara pemacu utama kepada prospek pertumbuhan AME Elite pada masa hadapan.
Prestasi Suku Pertama Menepati Jangkaan
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir Mac 2027, AME Elite mencatatkan keputusan kewangan yang menepati jangkaan RHB Research.
Dalam tempoh itu, hasil kumpulan meningkat 4.4% kepada RM195.7 juta berbanding RM187.5 juta pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.
Pertumbuhan tersebut disokong terutamanya oleh segmen pembinaan, apabila hasilnya melonjak 74.3% kepada RM80.4 juta daripada RM46.1 juta.
Menurut RHB Research, peningkatan hasil pembinaan itu didorong oleh kemajuan dalam peringkat penyempurnaan projek-projek yang sedang dilaksanakan.
Bagaimanapun, hasil segmen pembangunan hartanah menurun 30.1% kepada RM68.9 juta berbanding RM98.7 juta sebelum ini, disebabkan tahap kerja yang disiapkan lebih rendah serta masa pengiktirafan hasil daripada projek-projek berkenaan.
Keuntungan Teras Terus Meningkat
Walaupun terdapat penurunan dalam hasil pembangunan hartanah, keuntungan sebelum cukai AME Elite meningkat 37.4% kepada RM69.4 juta berbanding RM50.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih pula melonjak 50% kepada RM48.6 juta daripada RM32.4 juta, manakala keuntungan bersih teras meningkat 28.3% kepada RM41.6 juta.
Dari segi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan menurun daripada RM81.1 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026, namun prestasi suku sebelumnya telah dipengaruhi oleh keuntungan nilai saksama sebanyak RM81.54 juta yang direkodkan daripada amanah pelaburan hartanah.
Selepas mengambil kira faktor tersebut, keuntungan bersih teras bagi suku pertama tahun kewangan 2027 hanya susut 2.6% berbanding RM42.7 juta pada suku sebelumnya yang menyokong pandangan RHB Research bahawa keputusan semasa adalah dalam jangkaannya.
RHB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap AME Elite dengan harga sasaran RM2.30 sesaham, berbanding harga RM1.34 ketika ini.
Capai Sasaran Jualan Hartanah
Dalam pada itu, Phillip Capital pula berkata AME Elite Consortium kini berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM400 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY2027), disokong jualan baharu dan tempahan sedia ada yang kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, AME Elite memperoleh jualan baharu sebanyak RM62 juta pada suku pertama FY2027, selain mempunyai tempahan sedia ada sebanyak RM35 juta.
“Pencapaian tersebut membantu memastikan kumpulan itu terus berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan hartanah RM400 juta yang ditetapkan bagi FY2027.
“Selain itu, usaha sama Suling Hill turut menyediakan potensi tambahan kepada prestasi kumpulan dengan tempahan sebanyak RM117.2 juta yang masih belum diiktiraf sebagai hasil,” katanya.
Firma itu berkata, sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dijangka meningkat dalam baki tempoh FY2027 apabila jualan yang telah diperoleh diiktiraf secara berperingkat. - DagangNews.com




