Pertumbuhan keuntungan KLCCP Stapled Group sederhana, penganalisis kekal berhati-hati terhadap prospek hotel

Business & Finance
27 Aug 2026 • 11:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan keuntungan KLCCP Stapled Group sederhana, penganalisis kekal berhati-hati terhadap prospek hotel Image from: Pertumbuhan keuntungan KLCCP Stapled Group sederhana, penganalisis kekal berhati-hati terhadap prospek hotel liza27/08/2026 - 11:46 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos – KLCCP Stapled Group mencatatkan prestasi berdaya tahan pada separuh pertama FY2026 disokong kekuatan segmen runcit dan pejabat, namun pertumbuhan keuntungan yang sederhana menyebabkan penganalisis mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap saham kumpulan itu.

 

Penganalisis berpandangan keputusan kewangan KLCCP bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (1HFY26) adalah selaras dengan jangkaan serta konsensus pasaran, menunjukkan asas perniagaannya kekal stabil.

 

KLCCP mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM408.6 juta bagi 1HFY26, manakala keuntungan bersih teras suku kedua berjumlah RM204.4 juta, mencerminkan pertumbuhan kecil berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu turut mengisytiharkan agihan sebanyak 9.3 sen seunit bagi 2QFY26, menjadikan jumlah agihan bagi 1HFY26 sebanyak 18.6 sen.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan keuntungan yang sederhana menyebabkan penganalisis tidak melihat pemangkin yang cukup kukuh untuk mengambil pendirian lebih positif terhadap saham itu, dengan MBSB Research mengekalkan saranan Neutral pada harga sasaran RM8.80 manakala CGS International (CGSI) mengekalkan saranan Pegang dengan harga sasaran RM8.75.

 

Segmen hotel masih lemah

Menurut MBSB Research, keuntungan bersih teras KLCCP sebanyak RM408.6 juta bagi 1HFY26 meningkat 1.5% berbanding tahun sebelumnya dan memenuhi 49% daripada unjuran penuh tahun firmanya serta 50% daripada anggaran konsensus.

 

Bagi suku kedua FY2026, keuntungan bersih teras meningkat hanya 0.1% berbanding suku sebelumnya apabila prestasi keseluruhan segmen perniagaan kekal sebahagian besarnya mendatar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen pejabat mencatatkan peningkatan kecil dalam keuntungan sebelum cukai, disokong kadar sewaan yang lebih tinggi di Menara ExxonMobil serta perjanjian pajakan jangka panjang.

 

Segmen runcit pula kekal berdaya tahan hasil pembalikan kadar sewaan yang positif, dengan MBSB Research melihat lokasi strategik Suria KLCC sebagai faktor utama yang akan terus menyokong prospek pertumbuhan perniagaan berkenaan.

 

Namun, firma itu berkata perniagaan hotel masih menjadi faktor yang perlu diberi perhatian kerana permintaan hospitaliti yang lebih perlahan serta kerja pengubahsuaian bilik yang sedang dijalankan terus menjejaskan prestasinya.

 

“Pertumbuhan keuntungan kumpulan turut mendapat sedikit sokongan daripada kos pembiayaan yang lebih rendah selepas kejayaan pembiayaan semula Sukuk Murabahah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Segmen peruncitan, pejabat sokong peningkatan keuntungan KLCCP Stapled kepada RM203.9 juta

 

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY2026 hingga FY2028 tanpa perubahan kerana menjangkakan prospek KLCCP kekal stabil, terutama disokong kekuatan berterusan segmen runcit dan pejabat,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma itu menganggarkan hasil agihan kasar sebanyak 5.2% dan menjangkakan segmen pejabat yang stabil dapat membantu mengimbangi sebarang kelemahan dalam perniagaan hotel dalam tempoh terdekat.

 

CGSI jangka prestasi hotel lebih kukuh pada 2HFY26

Sementara itu, CGSI berkata keuntungan bersih teras sekitar RM408 juta bagi 1HFY26 adalah secara keseluruhannya selaras dengan jangkaan, disokong sumbangan yang lebih kukuh daripada aset pejabat dan runcit.

 

Firma itu turut menegaskan kekuatan Suria KLCC yang mencatatkan kadar penghunian 98% pada akhir 1HFY26, walaupun jualan penyewa secara purata bergerak mencatatkan penurunan 3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

CGSI menjangkakan Suria KLCC terus mencatatkan kadar sewaan positif pada kadar rendah hingga sederhana satu digit bagi FY2026, disokong trafik pengunjung yang sihat serta daya tahan jualan penyewa.

 

Firma itu juga berpandangan Suria KLCC dan Ombak KLCC tidak akan saling menjejaskan perniagaan masing-masing kerana kedua-dua pusat beli-belah menawarkan campuran penyewa yang saling melengkapi, membolehkan Suria KLCC mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi beli-belah utama.

 

CGSI turut menjangkakan pendapatan dan agihan seunit FY2026 meningkat berbanding tahun sebelumnya, disokong pendapatan yang berdaya tahan daripada aset pejabat dan runcit serta prospek pemulihan sektor pelancongan.

 

Dalam 1HFY26, Mandarin Oriental Kuala Lumpur (MOKL) mencatatkan peningkatan 4% dalam hasil bagi setiap bilik tersedia berbanding tahun sebelumnya, manakala kadar penghunian kekal sekitar 60%.

 

Berbeza dengan pandangan MBSB yang lebih berhati-hati terhadap segmen hotel, CGSI menjangkakan prestasi MOKL lebih kukuh pada separuh kedua FY2026, disokong peningkatan aktiviti pelancongan secara bermusim serta ketegangan geopolitik yang semakin reda.

 

Firma itu turut melihat prospek Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai pemangkin kepada pemulihan perniagaan hotel, selain inisiatif penambahbaikan aset di MOKL, Menara Berkembar Petronas, Menara Dayabumi dan Menara ExxonMobil yang dijangka meningkatkan daya tarikan hartanah serta menyokong pengekalan penyewa dan pertumbuhan sewaan dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved