liza21/08/2026 - 10:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos – Mah Sing Group Berhad dijangka meraih keuntungan sekitar RM150 juta daripada pelupusan kira-kira 31.9 hektar (78.8 ekar) tanah di Southville City yang bernilai RM617.86 juta, menurut penganalisis.
MBSB Research dan RHB Research berpandangan pelupusan tersebut membolehkan Mah Sing membuka nilai bank tanahnya di Southville City, selain meningkatkan keterlihatan Hab Pusat Data Mah Sing @ Southville City dalam sektor digital antarabangsa.
Pelupusan tanah itu melibatkan WG Malaysia X Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh sebuah kumpulan infrastruktur digital antarabangsa.
Mah Sing menjual tanah berkenaan pada harga RM180 sekaki persegi. Harga itu lebih tinggi daripada RM160 sekaki persegi dalam urus niaga terdahulu dengan Bridge Data Centres, tetapi lebih rendah daripada RM200 sekaki persegi dalam urus niaga kedua yang telah luput.
Kedua-dua firma turut melihat perkembangan hab pusat data itu sebagai asas positif kepada rancangan jangka panjang Mah Sing untuk meningkatkan pendedahan kepada infrastruktur digital, manakala pelupusan tersebut dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.
Mah Sing merancang membangunkan pusat data kolokasi (colocation) dalam hab berkenaan menerusi kerjasama strategik dengan pengendali pusat data kolokasi yang berpengalaman.
MBSB Research jangka keuntungan FY2027 melonjak
MBSB Research menganggarkan keuntungan bersih daripada pelupusan itu sekitar RM150 juta selepas mengambil kira premium penukaran dan kos infrastruktur.
Pelupusan tersebut dijangka selesai pada separuh kedua tahun kewangan 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu. Keuntungan itu berpotensi meningkatkan keuntungan FY2027 Mah Sing sebanyak 49%.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing raih RM618 juta daripada jualan tanah pusat data di Southville City
MBSB Research turut menganggarkan keuntungan pelupusan itu boleh menambah dividen sesaham sebanyak 2.3 sen, sekali gus meningkatkan jumlah dividen sesaham FY2027 kepada 8.3 sen, bersamaan hasil dividen sekitar 7%.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran keuntungan FY2027 buat masa ini sementara menunggu penyelesaian pelupusan tanah.
Bagi FY2026 hingga FY2028, MBSB Research mengunjurkan hasil masing-masing RM2.719 bilion, RM2.754 bilion dan RM2.850 bilion, manakala keuntungan teras masing-masing RM279 juta, RM307 juta dan RM323 juta.
MBSB Research menaikkan harga sasaran Mah Sing kepada RM1.37 daripada RM1.25 dengan mengecilkan diskaun nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) kepada 45% daripada 50% berikutan keterlihatan yang lebih baik terhadap Hab Pusat Data Mah Sing.
RHB Research masukkan RM150 juta dalam penilaian
RHB Research pula menyifatkan pelupusan tersebut sebagai urus niaga tanah yang sangat dinantikan dan akhirnya berjaya dimeterai dengan jualan hartanah baharu sebagai pemacu utama prestasi Mah Sing.
Dalam penilaian RHB Research, nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) Mah Sing berjumlah RM5.92 bilion sebelum diskaun 50% dikenakan, menghasilkan nilai RM2.96 bilion.
Firma itu turut menilai bahagian pembuatan plastik pada RM280 juta dan memasukkan keuntungan RM150 juta daripada pelupusan tanah kepada WG Malaysia X dalam penilaian jumlah bahagian (Sum-of-the-Parts), menjadikan nilai keseluruhan RM3.39 bilion.
RHB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM1.40, yang menunjukkan potensi kenaikan sekitar 20% daripada harga RM1.17.
Firma itu turut mengunjurkan dividen sesaham sebanyak 6 sen bagi FY2026 hingga FY2028. - DagangNews.com






