AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM16 juta bagi 2QFY27 disokong aset industri baharu

Business & FinanceProperty
21 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM16 juta bagi 2QFY27 disokong aset industri baharu Image from: AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM16 juta bagi 2QFY27 disokong aset industri baharu amree21/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt — AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatat peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 11.5% kepada RM16 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (2QFY27), disokong sumbangan aset industri baharu serta kenaikan hasil sewaan.

 

Pendapatan sewaan kumpulan tersebut turut berkembang kira-kira 11.9% kepada RM17.5 juta berbanding RM15.7 juta sebelum ini, mencerminkan sumbangan tiga hartanah yang diperoleh selepas tempoh perbandingan serta kenaikan kadar sewa bagi pembaharuan penyewaan.

 

Syarikat amanah pelaburan hartanah (REIT) berasaskan industri itu turut merekodkan keuntungan nilai saksama belum direalisasikan sebanyak RM5 juta daripada hartanah pelaburan, sekali gus menjana peningkatan hasil bersih sebanyak 56% kepada RM15.2 juta.

 

"Setelah pelarasan bagi keuntungan nilai saksama bersih selepas perbelanjaan cukai tertunda, penghutang pendapatan pajakan belum dibil dan item bukan tunai, pendapatan boleh agih AME REIT berjumlah RM11.7 juta bagi 2QFY27," maklumnya kepada Bursa Malaysia.

 

Ia akan membayar 100% daripada pendapatan boleh agih itu kepada pemegang unit, bersamaan agihan pendapatan sesaham unit (DPU) 2.19 sen. Bayaran dijadual 26 November 2026 kepada pemegang unit tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada penutupan urus niaga 6 November 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, Chan Wai Leo berkata, pertumbuhan NPI itu mencerminkan keupayaan portfolio hartanah AME REIT yang berkembang positif, dengan nilai hartanah pelaburan mencecah RM1.05 bilion.

 

AME REIT_Dagangnews2026

 

Dalam perkembangan berkaitan, AME REIT turut berjaya menyelesaikan pengambilalihan tiga bidang tanah industri pegangan bebas berjumlah 3.6 hektar di i-Park @ Senai Airport City, Johor pada 23 September 2026, dengan nilai transaksi RM50.2 juta.

 

"Pengambilalihan itu merupakan pembelian aset pertama daripada pihak ketiga dan akan menyokong strategi bina-untuk-disewa, iaitu pembangunan kemudahan industri disesuaikan untuk disewakan kepada perniagaan yang memerlukan ruang operasi berkualiti," katanya.

 

Setakat 30 September 2026, portfolionya merangkumi 44 hartanah, terdiri 38 hartanah industri, tiga aset berkaitan industri dan tiga bidang tanah industri untuk pembangunan. Nilai keseluruhan hartanah pelaburannya berjumlah RM1.05 bilion, manakala jumlah nilai aset mencecah RM1.10 bilion.

 

Wai Leo berkata, kehadiran kukuh di Johor meletakkan kumpulan pada kedudukan untuk memanfaatkan permintaan industri didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). AME REIT juga akan terus menilai peluang memperoleh hartanah industri berkualiti di Malaysia.

 

Kumpulan itu merupakan REIT industri yang melabur dalam portfolio hartanah secara patuh Syariah yang menjana pendapatan, khususnya bagi kegunaan industri dan berkaitan industri di Malaysia serta luar negara. 

 

Portfolio semasanya merangkumi aset industri dan berkaitan industri di seluruh wilayah Iskandar Malaysia, dengan matlamat menyediakan agihan pendapatan yang stabil dan berkembang kepada pemegang unit serta pertumbuhan nilai aset bersih untuk jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved