amree20/10/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – Chin Hin Group Berhad mencatatkan nilai jualan terkumpul mencecah RM51.02 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 20 Oktober 2026, dengan keuntungan bersih RM25.33 juta daripada pelupusan sekuriti disebut harga untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkenaan menambah, nilai keseluruhan pelupusan saham disebut harga yang belum diumumkan itu bagi tempoh 12 bulan terdahulu sudah melebihi 5% daripada ambang aset bersih disatukan teraudit terkini syarikat setakat 31 Disember 2025.
Jelasnya lagi, nilai jualan terkumpul sekuriti yang disebut harga itu berjumlah RM51.02 juta, iaitu bersamaan kira-kira 5.35% daripada aset bersih disatukan teraudit terkini kumpulan berkenaan dan dilaksanakan dalam tempoh hingga 20 Oktober 2026.
"Bagi tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Disember 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM25.33 juta daripada pelupusan tersebut, berdasarkan hasil jualan selepas ditolak kos pelaburan dan perbelanjaan berkaitan," tambah Chin Hin.

Katanya, setakat 20 Oktober 2026, jumlah kos pelaburan kumpulan berkenaan dalam sekuriti disebut harga ialah RM25.70 juta, manakala nilai buku pelaburan tersebut berjumlah RM22.87 juta.
Sementara itu, nilai pasaran keseluruhan bagi pelaburan sekuriti disebut harga kumpulan itu pula mencecah sebanyak RM48.28 juta pada tarikh sama.
Chin Hin menjelaskan bahawa pengumuman itu dibuat menurut Perenggan 9.20 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, yang berkaitan urus niaga sekuriti disebut harga.
Pendedahan berkenaan dibuat selepas nilai agregat pelupusan sekuriti yang belum diumumkan bagi tempoh 12 bulan melepasi ambang 5% daripada aset bersih disatukan teraudit terkini kumpulan.
"Bagaimanapun, tiada nilai balasan pembelian agregat sekuriti disebut harga yang direkodkan oleh kumpulan ini bagi tempoh 12 bulan berkenaan dalam butiran pengumuman tersebut," katanya. - DagangNews.com





