Aminuddin Dakwa Exco Negeri Sembilan Derhaka Kepada Tuanku Muhriz

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Aminuddin Dakwa Exco Negeri Sembilan Derhaka Kepada Tuanku Muhriz

SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun mendakwa tindakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengeluarkan pengumuman berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam sebagai satu ‘penderhakaan’ terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu.

Aminuddin turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap setiap anggota Exco terlibat dalam pengumuman berkenaan.

Beliau berkata, pengumuman itu bercanggah dengan pendirian kerajaan negeri tujuh hari sebelum itu bahawa proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April 2026 tidak mematuhi proses dan tatacara di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), selain disifatkan tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.

Katanya, proklamasi sama pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani pada 20 April ketika beliau masih Menteri Besar, namun beliau enggan berbuat demikian.

"Saya telah diminta pada April 2026 untuk menandatangani dokumen proklamasi tersebut sebagai Menteri Besar di bawah Perkara 10(2). Saya enggan dan telah menyatakan pendirian saya secara terbuka.

“Pendirian itu dibuat dalam kapasiti saya sebagai Menteri Besar yang sedang memegang jawatan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10(2). Perkara sama tidak boleh dikemukakan semula kepada Menteri Besar lain empat bulan kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Aminuddin yang memegang jawatan Menteri Besar sehingga 2 Ogos lalu berkata, keengganannya itu turut mengambil kira penglibatan Mubarak bin Dohak yang didakwanya bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong ketika proklamasi itu dibuat pada 19 April.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan proses berkenaan tidak mematuhi Perkara 10 UUTKNS.

Aminuddin turut menafikan dakwaan dalam afidavit Undang Luak Johol bagi menyokong permohonan semakan kehakiman bertarikh 17 Julai dalam Saman Sivil No. WA-25-201-07/2026.

Afidavit itu didakwa menyatakan Aminuddin menghadiri satu pertemuan di Balai Undang Sungai Ujong pada 5 Mac, ketika siasatan lengkap seperti yang dikehendaki Perkara 10 kononnya telah dijalankan.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan terang-terangan. Tiada siasatan lengkap pernah dijalankan di hadapan saya seperti yang didakwa.

“Malah, perkara itu antara sebab saya enggan menandatangani proklamasi bertarikh 19 April 2026,” katanya.

Aminuddin turut mendakwa tiada pertuduhan dibuat terhadap Tuanku Muhriz dan baginda tidak diberikan peluang untuk memberikan respons.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi.

Pada masa sama, Aminuddin mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan negeri berhubung status proklamasi berkenaan.

“Namun, tujuh hari kemudian, anggota Exco yang sama memutuskan bahawa proklamasi itu lengkap dan telah berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami,” katanya.

Beliau menegaskan barisan Exco tidak mempunyai kuasa di bawah UUTKNS untuk membuat keputusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Aminuddin turut merujuk keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 13 September dan mengeluarkan keputusannya pada 14 September lalu.

Menurutnya, DKU menegaskan semula bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal, selain Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Katanya, keputusan itu telah disampaikan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Aminuddin turut mempersoalkan kenyataan Exco pada 16 September yang menyebut proklamasi berkenaan hanya disempurnakan di bawah Perkara 10(2) selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen itu pada 3 Ogos.

Pada masa sama, katanya, kenyataan tersebut menyatakan pengganti telah dipilih pada 19 April di bawah Perkara 11.

“Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan itu masih disandang,” katanya.

Tegas Aminuddin, beliau tidak mengiktiraf pengumuman pada 16 September 2026 dan mengulangi pendiriannya bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa tindakan anggota Exco membuat pengumuman berkenaan merupakan perbuatan “derhaka” terhadap Tuanku Muhriz dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap setiap anggota yang terlibat.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas barisan Exco Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Bagaimanapun, DKU sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah, menunjukkan wujud pertikaian terbuka berhubung kesahan proklamasi dan proses perlembagaan berkaitan. - Getaran, 17 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved