Pusat data Johor berpotensi jana perbelanjaan pembangunan sehingga RM100 bilion pada 2030 - AmInvest

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 11:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat data Johor berpotensi jana perbelanjaan pembangunan sehingga RM100 bilion pada 2030 - AmInvest Image from: Pusat data Johor berpotensi jana perbelanjaan pembangunan sehingga RM100 bilion pada 2030 - AmInvest hamden12/08/2026 - 11:27 Pembangunan pusat data di Johor. - Gambar/ Media Digital Johor Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sektor pembinaan Malaysia dijangka terus berada dalam kitaran pertumbuhan yang kukuh, disokong buku tempahan yang besar serta momentum pelaburan sektor swasta yang berterusan, khususnya pembangunan pusat data.

 

AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, kerja yang disiapkan sektor swasta mencapai rekod RM30.5 bilion pada 1Q26, meningkat 13.2% tahun ke tahun (YoY), manakala kapasiti pusat data terancang sebanyak 2.5 gigawatt (GW) di Johor berpotensi menjana perbelanjaan pembangunan kasar sehingga RM100 bilion menjelang 2030.

 

Justeru, firma itu mengekalkan penarafan ‘OVERWEIGHT’ terhadap sektor pembinaan, dengan Sunway Construction Group Berhad (SunCon) kekal sebagai pilihan utama, manakala Gamuda Berhad diturunkan kepada ‘HOLD’.

 

Menurutnya, walaupun pemberian projek infrastruktur awam yang lebih perlahan serta inflasi kos berkaitan logistik menjadi cabaran jangka pendek, keadaan itu dijangka hanya memberikan kesan sederhana dan tidak menjejaskan kitaran pertumbuhan sektor secara keseluruhan.

 

Malah, penarafan  ‘OVERWEIGHT’ firma tersebut tidak bergantung kepada pemulihan segera dalam pemberian projek kerajaan, menjadikan sebarang penukaran projek infrastruktur termasuk dari projek awam boleh pemangkin kepada pertumbuhan buku tempahan dan peningkatan unjuran pendapatan.

 

"Kami percaya kitaran pembinaan kekal kukuh, disokong pelaburan sektor swasta yang mantap dan buku tempahan belum dibil yang besar, memberikan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Penilaian Semakin Tinggi

Bagaimanapun, firma itu berkata, penilaian saham yang semakin tinggi dan tekanan kos yang meningkat menyebabkan pulangan pada masa hadapan semakin bergantung kepada pemilihan saham.

 

Sehubungan itu, ia lebih mengutamakan kontraktor dengan kunci kira-kira kukuh, penukaran tunai yang sihat serta kitaran projek lebih pendek, yang memberikan fleksibiliti lebih tinggi untuk menetapkan harga projek baharu berdasarkan kos semasa.

 

SunCon dilihat paling menepati ciri tersebut, manakala buku tempahan rekod Gamuda diimbangi oleh tahap gearing lebih tinggi dan aliran keluar aliran tunai bebas (FCF) yang berterusan.

 

AmInvest berkata, pembangunan pusat data kekal sebagai pemacu pertumbuhan struktur paling jelas bagi sektor pembinaan.

 

Walaupun kelulusan lebih ketat dan kekangan infrastruktur dijangka membawa kepada penambahan kapasiti yang lebih berdisiplin, firma itu melihat perkembangan tersebut sebagai pertumbuhan terkawal dan bukannya pembalikan kitaran pelaburan.

 

"Kontraktor yang mempunyai rekod pelaksanaan kukuh serta hubungan dengan pengendali pusat data berskala besar dijangka berada pada kedudukan terbaik untuk memperoleh projek bagi fasa seterusnya dan kontrak berulang," katanya.


Projek Awam Beri Potensi Peningkatan

Sementara itu, aktiviti kejuruteraan awam sektor awam secara umumnya mendatar pada sekitar RM11 bilion setiap suku tahun, selain susut 1.6% YoY pada 1Q26.

 

Namun, firma penyelidikan itu berkata, sebarang peningkatan dalam pemberian projek infrastruktur utama akan memberikan potensi peningkatan ketara kepada jangkaan buku tempahan pendapatan semasa.

 

Perkembangan kontrak domestik juga menunjukkan momentum masih kukuh apabila nilai kontrak pembinaan domestik mencecah RM16.9 bilion pada 2Q26, meningkat 56% berbanding suku sebelumnya, menjadikan jumlah 1H26 sebanyak RM27.7 bilion.

 

Dalam pada itu, peningkatan harga diesel dan had muatan kenderaan yang lebih ketat meningkatkan kos pengangkutan di seluruh rantaian bekalan bahan binaan.

 

Firma penyelidikan berkata, kontrak harga tetap yang mempunyai tempoh panjang paling terdedah kepada tekanan tersebut.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan tekanan inflasi kos lebih berkemungkinan mewujudkan perbezaan prestasi margin antara kontraktor berbanding menyebabkan kemerosotan menyeluruh dalam sektor.

 

Kontraktor dengan kitaran projek lebih pendek, perlindungan kontrak lebih kukuh dan fleksibiliti kewangan lebih tinggi dijangka lebih berupaya mengekalkan margin serta menetapkan harga projek baharu berdasarkan kos semasa.

 

Oleh itu, inflasi kos dilihat mengukuhkan kepentingan pemilihan saham dan bukannya melemahkan pandangan ‘OVERWEIGHT’ terhadap sektor. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved