
SHAH ALAM: Spekulasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama di negeri ini semakin kuat.
Ia selepas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapannya perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RSK2) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 hari ini yang menyatakan kesediaan parti itu untuk bersama kerajaan negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita negeri Selangor yang maju dan makmur. Amirudin (Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari) adalah adindaku.
“Ng Suee Lim (Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim) adalah sahabatku. Gunaraj George (PH-Sentosa), amanah adalah peganganku, Kak Yam (Mariam Abdul Rashid, PH-Meru) adalah kenalanku,” katanya.
Ucapan bersahaja Pengerusi Bersatu Selangor itu turut mencuit hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.
Maklum balas ADUN Hulu Kelang itu terhadap celahan oleh Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) yang mengajak beliau supaya bersama membina naratif sama bagi kemajuan Selangor turut mencuri tumpuan.
“Apa juga yang baik untuk membangunkan umat atas prinsip kemakmuran dan keadilan. Hulu Kelang menyokong penuh untuk masa depan,” balasnya.
Mohamed Azmin turut meneruskan perbahasan dan menyatakan pendirian untuk yakin dengannya demi pentadbiran serta pembangunan negeri ini walaupun berdepan dengan kumpulan yang mencetuskan pelbagai skandal dan perpecahan.
“Demi penyatuan Melayu dan umat (Islam), sokong aku’. Itu ayat mereka. Kumpulan yang melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu. Kumpulan itu juga yang meruntuhkan institusi Melayu, membangkrapkan Felda, merompak simpanan pendeposit Tabung Haji.
“Wahai yang amat berhormat Dato’ Menteri Besar, jangan gundah gulana, jangan benarkan fahaman itu bertapak di Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangunkan Selangor, anda tidak keseorangan, I am always here for Selangor,” katanya.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan PH Selangor tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Bersatu terutama di negeri ini.
Jajaran tersebut dipercayai untuk memastikan kedua-dua parti itu untuk terus relevan dan kuat dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Namun hari ini dilaporkan PH tidak tidak menolak kemungkinan boleh menjalin kerjasama dengan Bersatu sekiranya ia dapat menjamin kestabilan politik dan membawa manfaat kepada rakyat.
Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, berkata, bagaimanapun setakat ini belum wujud sebarang perbincangan rasmi atau serius berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dengan Bersatu.– UTUSAN
The post ‘Amirudin adalah adindaku, Ng Suee Lim adalah sahabatku’ appeared first on Utusan Malaysia.






