'Anak dari umur 5 kini 13…' – Betty Banafe dedah 8 tahun hadap bekas suami di mahkamah, 17 kes & 5 komital

EntertainmentFamily & Parenting
10 Apr 2026 • 8:36 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KADANG-kadang yang paling meletihkan bukan perpisahan itu sendiri, tetapi “perang” yang tak pernah berpenghujung selepasnya. Bila ego mengatasi rasional, yang jadi mangsa bukan lagi pasangan, tetapi anak-anak yang membesar dalam suasana penuh tekanan.

Itulah realiti yang dikongsikan oleh pelakon dan penyanyi, Betty Banafe, apabila mendedahkan dirinya masih berdepan konflik mahkamah berlarutan dengan bekas suami, bukan setahun dua, tetapi sudah masuk tahun kelapan.

Memasuki fasa yang boleh dianggap memenatkan dari segi emosi dan mental, Betty berkata dia terpaksa turun naik mahkamah hampir setiap bulan, dengan 17 kes saman difailkan terhadapnya termasuk lima komital yang disifatkan tidak berkaitan dengan isu penjagaan sementara anak-anak.

“Saya dah cukup sabar… ini sudah masuk tahun ke-8, turun naik mahkamah hampir setiap bulan,” luahnya jujur.

Apa yang lebih meruntun perasaan, apabila konflik antara orang dewasa akhirnya memberi kesan kepada jiwa anak-anak.

Dalam nada kecewa, Betty mempersoalkan keadaan di mana anak-anaknya terpaksa berdepan perbualan negatif setiap kali bertemu keluarga bekas suami.

“Tak kesian ke tengok anak-anak terpaksa hadap perbualan negatif dan toksik setiap kali berjumpa?” katanya lagi.

Perpisahan seharusnya tidak menjadi medan peperangan berpanjangan. Anak-anak bukan alat untuk membalas dendam, sebaliknya amanah yang perlu dilindungi daripada konflik emosi yang tidak sepatutnya mereka tanggung.

image is not available

Dalam masa sama, wanita itu turut meluahkan kekeliruan terhadap tindakan bekas suaminya yang kini berada di luar negara, namun masih berusaha mendapatkan hak penjagaan penuh.

“Kenapa tak fokus pada kewangan dan masa depan anak-anak, daripada terus berperang di mahkamah?,” soalnya yang memuat naik satu video di instagram miliknya.

Lebih menyentuh hati, Betty berkongsi ketika perceraian dahulu, dia memilih untuk tidak menuntut apa-apa, baik nafkah mutaah, eddah mahupun harta sepencarian. Keputusannya ketika itu hanyalah satu: mahu hidup tenang dan memperbaiki diri.

“Saya cuma nak berdamai dan mencari ketenangan jiwa… salah ke?” luahnya penuh emosi.

Namun, ujian tidak terhenti di situ. Betty turut mendakwa wujud laporan kepada pihak berkuasa yang menuduhnya melakukan penderaan terhadap anak-anak dan pembantu rumah.

Situasi tersebut bukan sahaja mencalar reputasi, malah memberi kesan psikologi kepada anak-anak yang akhirnya menyedari kebenaran.

“Satu van penuh wakil dengan pakar psikologi datang buat siasatan… akhirnya akui tiada unsur penderaan,” kongsinya.

Di sebalik segala yang berlaku, satu perkara yang jelas, Betty tidak hanya berjuang untuk dirinya, tetapi demi masa depan anak-anaknya. Malah, dia turut menyuarakan harapan agar pihak berkaitan, termasuk peguam, memainkan peranan dengan lebih beretika dan berintegriti.

“Jadilah peguam yang boleh menasihati anak guam kerana ALLAH… bukan ambil peluang menekan,” tegasnya.

image is not available

Perjalanan panjang ini juga memperlihatkan bagaimana masa berlalu tanpa disedari. Dari seorang anak kecil berusia lima tahun yang menyaksikan perceraian ibu bapanya, kini sudah meningkat remaja, namun konflik masih belum berakhir.

"Buang masa mahkamah la. Satu kes makan 2 tahun ke 10 tahun pun tak mustahil. Anak saya dari umur 5 tahun dia melihat kami bercerai..now dah anak dara 13 tahun..tak habis lagi perang," dedahnya lagi.”