
TAMBUNAN – Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas ibunya ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 2 petang berhubung kejadian membabitkan seorang wanita berusia 56 tahun yang ditemukan meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat senjata tajam,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, susulan kejadian itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan anak kandung mangsa.
“Suspek kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa oleh penduduk kampung ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pasukan penyiasat dan forensik menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian selain merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Anak ditahan selepas ibu ditemukan maut di rumah sewa appeared first on Kosmo Online.






