
Kota Kinabalu: Seorang broker berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan menipu seorang wanita berusia 66 tahun membabitkan urusan sebidang tanah di Tambunan berjumlah RM81,500.
Herman Stephen mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua dan Zaini Fishir.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketujuh, Herman didakwa menipu wanita berkenaan dengan memperdayakannya untuk mendapatkan tanah NT di Kampung Rompon,Tambunan serta secara fraudulennya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang kepadanya yang tidak akan diserahkan sekiranya wanita itu tidak diperdaya.
Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan menyerahkan wang berjumlah RM5,000, RM1,000, RM3,000, RM45,000, RM15,000, RM2,500 dan RM10,000 antara 23 November hingga 5 Disember 2025 di sebuah unit apartmen di Jalan Sulaman, Manggatal.
Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semua kes dan membenarkan Herman dibebaskan dengan jaminan RM14,500 dengan dua penjamin tempatan.
Herman turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali manakala pasportnya jika ada hendaklah diserahkan kepada mahkamah.
Dia turut diberi amaran supaya tidak mengganggu atau mempengaruhi saksi pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir dan TPR Mohd Fadzri Azham hadir bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Lim Ming Zoong mewakili Herman.






