
DEMI kebaikan dan masa depan anak-anak, seorang ibu pastinya sanggup melakukan apa sahaja. Mana tidaknya, pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira wang ringgit mahupun tenaga menjadi cermin kasih sayang hakiki seorang wanita bergelar ibu.
Begitulah juga dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini yang sentiasa menjadi inspirasi ramai dalam mendidik serta membesarkan anak-anaknya.
Baru-baru ini, menerusi hantaran di laman Threads, pelakon drama popular itu mendedahkan betapa dia mengambil berat soal pemakanan anak terutamanya sepanjang tempoh peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anak kelahiran Perlis itu mengambil inisiatif khas demi memastikan anak kesayangannya mendapat makanan bertaraf nutrisi terbaik ketika menduduki peperiksaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
"Sepanjang anak saya tengah Trial SPMRSM, saya sendiri ambil inisiatif untuk jaga pemakanan dia. Keluar duit sendiri, plan menu sendiri dan saya minta kerjasama kafe untuk bantu sediakan menu yang saya pilih. And honestly, I genuinely enjoy doing it," katanya.
Mengulas mengenai usaha berkenaan, ibu kepada dua cahaya mata tersebut turut memberitahu rancangan menu dan penyediaan makanan tersebut adalah hasil titik peluhnya sendiri.
"Disclaimer: Semua ni atas usaha dan duit saya sendiri ya. Bukan duit persatuan. Duit saya, rezeki saya… suka hati saya nak order apa untuk anak saya. Tak perlu dengki dengan rezeki atau plate orang lain.
"Kalau teringin, order dan bayar je lah… tak payah nak complicated sangat. Simple things, jangan kita yang buat jadi susah. Just a mom doing her best for her child," tambahnya lagi.

Berkongsi pengalaman
Bercerita lanjut, Rita berpendapat kejayaan anak-anak dalam musim peperiksaan tidak hanya bergantung kepada persediaan fizikal seperti mentelaah buku semata-mata, sebaliknya aspek pemakanan sihat memainkan peranan yang cukup besar.
"Bagi saya, waktu exam bukan hanya tentang study. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi pun sangat penting untuk tenaga, fokus dan minda... especially bila anak tengah struggle dengan exam. Ini salah satu cara saya support anak saya dari rumah," kongsinya penuh ikhlas.
Menjengah ke ruangan komen, hantaran yang dikongsi pelakon jelita itu ternyata mendapat perhatian ramai warga maya yang rata-ratanya kagum dengan dedikasi pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mohammad Mokhtar itu.
Tidak kurang juga ada dalam kalangan ibu bapa yang berkongsi pengalaman serta kekangan masing-masing dalam menjaga anak di asrama.
Seorang pengguna memuji inisiatif tersebut sambil menyatakan dia menyimpan idea resepi Rita untuk persediaan peperiksaan anaknya kelak.
Ada juga ibu bapa yang mendedahkan cabaran menangani anak picky eater (memilih makanan) di dewan makan, selain berkongsi nostalgia tahun 80-an mengenai perasaan pelajar asrama apabila melihat rakan dilawati keluarga.
Malah, ada yang berkongsi amalan ibu bapa sewaktu anak-anak berdepan musim peperiksaan, yang mana ada yang sanggup mengambil cuti khusus untuk beribadat dan menyediakan comfort food buat anak-anak di asrama.
Melihat perkongsian berkenaan, Rita turut mengakui dia sendiri mengambil pendekatan berkorban dalam kerjaya dengan meletakkan keutamaan penuh terhadap peperiksaan anak-anaknya.
"Sama... time trial ni pun saya tak ambil job. Time SPM pun saya dah block date exam tak ambil mana-mana job... saya akan fokus baca Surah Yasin untuk anak-anak. Saya dah pesan pihak produser jangan ganggu waktu exam," ujar Rita lagi.






