Insiden yang meragut nyawa beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, nyata meruntun hati ramai pihak. Rata-rata menzahirkan rasa sedih dan pilu atas pemergian para wira negara yang terkorban dalam kejadian tersebut.
Sudah tentu, kesedihan itu paling dirasai oleh insan terdekat, khususnya keluarga para anggota terbabit. Tarikh 13 Mei 2025 kini menjadi satu detik yang sukar dilupakan oleh semua, khususnya ahli keluarga dan rakan seperjuangan.
Di media sosial, khususnya di TikTok, orang ramai berkongsi momen-momen terakhir yang menyayat hati melibatkan wira-wira ini. Beberapa hantaran video tular memaparkan gelagat anggota FRU berkenaan sebelum dan selepas melaksanakan tugasan mereka.
Salah satu hantaran yang turut menyentuh perasaan ramai ialah rakaman daripada keluarga Koperal Amiruddin, salah seorang anggota yang terkorban. Video berkenaan memaparkan anak lelaki beliau, Amirul Firdaus, yang berusia 12 tahun, mengimamkan solat jenazah bapanya.
“Mamateh proud of you abang Amirul Firdaus. Umur 12 tahun abang boleh imamkan jenazah abah. Insya-Allah Amir, anak lelakimu anak yang hebat. Abang Amirul boleh jaga ibu dan adik-adiknya,” tulis hantaran video yang dimuatnaik juejj_7007.
Rakaman berkenaan mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen, selain menerima pujian atas kematangan dan kekuatan yang ditunjukkan oleh anak Allahyarham.
The post Anak lelaki Allahyarham Koperal Amiruddin, 12 tahun, imamkan solat jenazah bapa appeared first on The Reporter.




