PASIR PUTEH – Seorang lelaki pembuat papan pemotong makanan berusia 49 tahun ditahan polis pada Isnin bagi membantu siasatan selepas dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan polis susulan penularan video perbuatan itu pada Ahad.
“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan lanjut.
“Kami memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta sebenar serta melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 55 saat dalam platform media sosial, Threads memaparkan dakwaan perbuatan jijik dilakukan oleh seorang lelaki itu terhadap kucing di rumahnya.
Menurut Saari, kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan semula video itu bagi menghormati sensitiviti awam dan mengelakkan penyebaran kandungan tidak wajar,” ujarnya.






