Ayah 24 jam di laut, pernah 3 hari tak balik, anak nelayan Nur Diana Zahirah raih 9A SPM nekad ubah nasib keluarga

LocalFamily & Parenting
3 Apr 2026 • 10:42 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available
Foto: FB Marzita Mansor, Bernama

TIADA yang lebih membanggakan ibu bapa selain melihat segala penat lelah membesarkan anak akhirnya terbalas apabila mereka berjaya.

Syabas diucapkan buat anak nelayan dari Kuala Sanglang, Arau, Perlis, Nur Diana Zahirah Yusni, 18, yang menghadiahkan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada kedua ibu bapanya.

Menyedari pengorbanan bapanya yang bekerja sehingga 24 jam di lautan demi mencari rezeki, gadis itu tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarganya.

image is not available
Foto: Bernama

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, kesusahan yang dilalui bapanya, Yusni Mat Yusop, 50, yang keluar ke laut seawal pagi untuk menyara keluarga, menjadi sumber kekuatan dan disiplin untuknya terus berusaha dalam pelajaran.

"Saya bertekad mahu ubah nasib keluarga, nak sara ayah, nak bantu dari segi kewangan ubah hidup mak ayah. 

"Mak saya tidak bekerja, ayah seorang sahaja bekerja. Ayah kalau turun ke laut pukul 4 pagi contohnya, 4 pagi esoknya baru balik rumah.

"Pernah ayah tak balik rumah dua, tiga hari. Ayah (juga) pernah tak sihat, dia tetap turun ke laut demi mencari rezeki untuk kami sekeluarga," katanya kepada Bernama.

image is not available
Foto: FB Marzita Mansor

Calon SPM SMK Sanglang itu turut berkongsi tip kejayaannya adalah dengan membuat latih tubi soalan-soalan peperiksaan yang lepas selain menyertai kelas tambahan yang dilaksanakan guru di sekolahnya itu.

Dia yang meraih 2A+, 5A dan 2A- menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris dan telah memohon melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Kisah Nurdiana terdahulu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis, Datin Marzita Mansor menerusi Instagram.

Lebih membanggakan, anak ketiga daripada empat beradik itu dikatakan pelajar pertama di SMK Sanglang yang memperoleh semua A dalam SPM.

Sejuk perut ibu yang mengandungkan. Bonda tercinta, Rozini Radzi, 48, berkata Nurdiana sememangnya menunjukkan minat belajar sejak kecil dan menonjolkan kesungguhan untuk berjaya dalam peperiksaan berkenaan.

Terdahulu, pada program Ziarah Rahmah itu, Nur Diana Zahirah menerima bantuan RM1,000 daripada LKIM, manakala Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) masing- masing menyumbang sebanyak RM500, selain bakul makanan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan. - Bernama