
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ibu bapa merupakan insan yang akan turut gembira di saat anak kesayangan mereka mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati.
Malah, ada yang sanggup menanggung sebahagian atau sepenuhnya kos perkahwinan kerana tidak sanggup melihat anak-anak terbeban.
Namun, tidak dinafikan ada juga bapa yang tidak merestui pilihan anak perempuannya atau perkahwinannya sehingga tidak mahu menjadi wali.
Boleh mohon wali hakim kalau bapa enggan nikahkan anak tanpa alasan syarie
Susulan itu, seorang peguam syarie yang dikenali sebagai Dhalia Shah tampil menerangkan mengenai perkara terbabit.
Menerusi hantaran carousel yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Dhalia berkata anak perempuan boleh memohon wali Hakim sekiranya bapa enggan menikahkan dia dengan pilihan hatinya tanpa alasan syarie.
“Bila wali sendiri (bapa kandung) enggan menikahkan tanpa sebab syarie, jangan terus putus asa. Ada jalan ikut undang-undang Syariah. Jangan takut tuntut hak untuk nikah secara halal,” tulisnya di kapsyen.
Contoh tanpa alasan syarie diberikan bapa kandung
Dhalia turut menyenaraikan beberapa alasan seseorang bapa kandung yang tidak mahu menikahkan anaknya yang dikira sebagai tidak syarie.
Berikut adalah contoh alasan-alasannya:
- Bapa tidak suka sebab calon bakal suami anaknya bukan orang sekampung.
- Tidak restu sebab ‘anak masih muda’.
- Marah sebab anak perempuan pernah melawan cakap.
- Ego seorang bapa tak nak direndahkan walaupun calon menantu sudah cukup baik.
Jelas Dhalia, Mahkamah Syariah boleh melantik wali hakim untuk menikahkan tetapi harus melalui proses permohonan terlebih dahulu.
Antara dokumen diperlukan untuk mohon wali hakim
Menurutnya, antara dokumen yang diperlukan untuk memohon adalah salinan kad pengenalan diri kedua-dua pihak (lelaki dan perempuan), bukti wali enggan menikahkan (tangkap layar atau rakaman suara jika ada), sijil kursus perkahwinan dan borang permohonan wali hakim.
“Kena hadir ke Mahkamah Syariah, hakim akan nilai sama ada betul wali tidak beri kerjasama tanpa alasan syarie.
“Kalau betul enggan tanpa sebab yang sah, wali hakim akan dilantik dan anda boleh bernikah secara sah di sisi agama dan undang-undang.
“Tidak semua yang bergelar wali layak menentukan masa depan anak perempuan ikut ego sendiri. Kalau niat nak bina rumahtangga yang halal usah biarkan wali jadi penghalang,” katanya.
Untuk carousel TikTok klik [DI SINI]
Sebagai info, memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan KL, wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin.
Sekiranya si bapa enggan (wali enggan) untuk menikahkan anaknya, maka dalam keadaan ini kedudukan wali itu tidak akan berpindah kepada kedudukan tertib wali yang jauh bahkan yang mengkahwinkannya adalah al-Sultan (dalam konteks semasa ialah wali hakim).
Wali Hakim ataupun sesetengah menyebutnya dengan Wali Sultan adalah wali yang dilantik bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
Wali yang enggan untuk mengahwinkan anaknya tanpa ada alasan yang dibenarkan oleh syarak, selepas mendapat perintah mahkamah namun dia enggan juga, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut. Ini berdasarkan Seksyen 13 (b), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.





![“First Time Pergi TRX”- Pakcik & Makcik Kongsi Sesat Dalam Mall Tapi Ramai Rasa Bahagia [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)