‘Anak Saya Ditikam Lebih 200 Kali’ - Ibu Mangsa

16 Oct 2025 • 8:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wong Lee Ping (tengah) tidak dapat menahan air mata ketika ditemui

KUALA LUMPUR - “Anak saya ditikam lebih 200 kali oleh suspek,”.

Itu pendedahan ibu mangsa tikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya hari ini.

Wong Lee Ping, 44, berkata, anaknya ditikam bertubi-tubi oleh suspek di bahagian leher, paru-paru dan bahagian kaki. 

Merayu agar orang ramai berhenti menyebarkan maklumat palsu mengenai tragedi menimpa anaknya, Yap Shing Xuen, 16, Lee Ping berkata, peristiwa hitam itu  adalah mimpi ngeri buat mereka sekeluarga. 

“Kami mendapat tahu laporan tidak tepat mengenai jumlah tikaman dialami mendiang anak saya telah tersebar meluas.

“Ada laman sesawang mengatakan anak saya ditikam 50 kali, tetapi hakikatnya dia ditikam sebanyak 200 kali, dari leher hingga ke paru-paru dan juga pada kakinya,” katanya kepada wartawan di Nirvana Center KL (NCKL) hari ini.

Lee Ping berkata, beliau diberitahu bahawa suspek semasa kejadian telah memanjat dinding tandas sekolah dan menyerang Shing Xuen yang telah mengunci dirinya di dalam tandas itu.

"Anak saya menjerit, dan selepas serangan itu suspek memanjat keluar dari tandas, tetapi anak saya masih terkunci di dalam,” katanya, sambil merayu orang ramai memberi ruang kepada mereka sekeluarga untuk berkabung atas kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu.

Tegas Lee Ping, mendiang Shing Xuen tidak mempunyai sebarang hubungan dengan suspek atau pernah didekati oleh remaja lelaki itu sebelum ini.

“Dia tidak mengenali budak lelaki itu, tidak pernah bercakap dengannya dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

“Dia seorang yang pendiam tetapi aktif dalam sukan, terutamanya bola tampar,” katanya sambil menahan tangis.

Lee Ping memberitahu, anaknya itu seorang pelajar yang amat berdisiplin.

“Dia amat taat dan patuh kepada ibu bapa. Sekali pun dia tidak pernah menyusahkan saya,” katanya dengan linangan air mata. 

Shing Xuen maut ditikam seorang pelajar Tingkatan Satu di sekolah sama, dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara Selasa lalu. 

Laporan patologi mengenai kejadian tikaman maut itu dijangka siap dalam tempoh sebulan. – Getaran, 16 Oktober 2025