Anak syarikat EVD terima petisyen penggulungan daripada Exypnos berhubung tuntutan RM627,000

26/09/2025 - 14:58
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Sept - Anak syarikat EVD Berhad iaitu EVD Engineering Sdn Bhd menerima petisyen penggulungan daripada Exypnos Engineering Sdn Bhd berhubung tuntutan berjumlah RM627,000.
EVD berkata, petisyen bertarikh 22 September itu, bersama afidavit bertarikh 23 September, telah diserahkan kepada EVD Engineering pada 25 September.
Menurut pihak pemohon, petisyen itu berpunca daripada dakwaan pelanggaran perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 12 Julai 2024 oleh EVD Engineering.
Exypnos mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengarahkan EVD Engineering untuk penggulungan, pelantik penerima rasmi sebagai pelikuidasi, serta kos petisyen dibayar daripada aset syarikat tersebut.
Bagaimanapun, EVD berkata, anak syarikatnya telah menafikan tuntutan itu.
“EVD Engineering, melalui peguamnya, telah membantah tunggakan sebanyak RM627,000 itu serta menafikan dakwaan pihak pemohon, dengan alasan pihak pemohon gagal mematuhi kewajipannya,” katanya dalam satu nota kajian.
Kumpulan itu berkata, mereka tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan atau operasi yang material daripada petisyen tersebut, selain daripada liabiliti berpotensi berjumlah RM627,000.
“EVD Engineering sedang mendapatkan nasihat guaman yang diperlukan untuk menyelesaikan atau mempertahankan perkara ini,” katanya.
Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes pada 22 Oktober, dengan perbicaraan dijadualkan pada 10 Disember 2025. - DagangNews.com
standard

