Anak syarikat TNB meterai kontrak bekalan arang batu RM411 juta dari AS – White House

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 11:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat TNB meterai kontrak bekalan arang batu RM411 juta dari AS – White House Image from: Anak syarikat TNB meterai kontrak bekalan arang batu RM411 juta dari AS – White House sarah19/11/2026 - 11:17 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Fuel Services Sdn Bhd, memeterai kontrak bekalan arang batu bernilai AS$100 juta (kira-kira RM411 juta) selama tiga tahun dengan syarikat Amerika Syarikat (AS), Navajo Transitional Energy Company (NTEC), dalam usaha mendapatkan bekalan bahan api bagi sektor penjanaan elektrik negara.

 

Menurut kenyataan White House bertarikh, perjanjian itu membabitkan bekalan arang batu dari lombong NTEC di selatan Montana, AS, kepada TNB Fuel Services, syarikat yang bertanggungjawab terhadap perolehan bahan api bagi TNB.

 

Kontrak tersebut merupakan antara urus niaga komersial yang diketengahkan pentadbiran Presiden Donald Trump dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan AS dengan negara-negara Asia.

 

Bekalan arang batu untuk sektor tenaga Malaysia

Perjanjian itu memperlihatkan hubungan perdagangan tenaga antara Malaysia dan AS, dengan NTEC bertindak sebagai pembekal manakala TNB Fuel Services sebagai pembeli bagi tempoh tiga tahun.

 

Bagaimanapun, White House tidak memperincikan jumlah arang batu yang akan dibekalkan, jadual penghantaran atau mekanisme penetapan harga di bawah kontrak berkenaan.

 

Pengumuman itu turut dibuat ketika Malaysia meneruskan usaha peralihan tenaga, dengan arang batu masih digunakan dalam campuran bahan api penjanaan elektrik negara, di samping pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

Malaysia turut diumum sebagai lokasi pembangunan awan AI berdaulat

Dalam perkembangan berasingan, White House turut mengumumkan rancangan pembangunan infrastruktur awan kecerdasan super berdaulat (sovereign super intelligence cloud) untuk kerajaan Malaysia menerusi kerjasama konsortium AS di bawah inisiatif U.S.-ASEAN SI SPARK.

 

Menurut kenyataan itu, pengumuman berkenaan dibuat oleh Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun butiran mengenai nilai pelaburan, syarikat yang terlibat serta jadual pelaksanaan projek belum dinyatakan.

 

Kerjasama ekonomi AS dengan negara Asia

Kedua-dua pengumuman membabitkan Malaysia itu merupakan sebahagian daripada perjanjian komersial dan pelaburan strategik yang diumumkan White House bagi memperluas hubungan ekonomi AS di Asia, merangkumi sektor tenaga, teknologi dan perdagangan.

 

Bagi Malaysia, perkembangan tersebut memperlihatkan kerjasama dengan syarikat AS dalam dua bidang berbeza, iaitu perolehan bahan api bagi sektor tenaga serta pembangunan infrastruktur teknologi termaju untuk kegunaan kerajaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved