KRU, Ella terima pengiktirafan BISA 2026

LocalEntertainment
6 May 2026 • 10:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KRU, Ella terima pengiktirafan BISA 2026
Zamri menyampaikan Anugerah Inspirasi Usahawan Selebriti kepada Ella dalam BISA 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada Rabu. - FOTO: Rosli Talib / Asril Aswandi Shukor

PETALING JAYA - Kumpulan rap legenda KRU dianugerahkan sebagai Peneraju Industri Kreatif, manakala Ratu Rock, Ella menerima Anugerah Inspirasi Usahawan Selebriti sempena Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026, anjuran Sinar Harian di bawah Karangkraf.

BISA 2026 disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, di Royale Chulan Damansara di sini pada Rabu.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta pengaruh mereka dalam dunia keusahawanan dan industri kreatif tanah air.

KRU menjadi antara nama besar dalam industri kreatif tempatan menerusi kejayaan mereka membina jenama serta memperluas pengaruh dalam pelbagai cabang perniagaan kreatif dan hiburan.

Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima.

"Walaupun pernah menang anugerah dalam kategori-kategori lain yang mengajuran pihak ketiga dan lain-lain, tapi ini adalah yang kali pertama pihak media memberikan anugerah kepada kami sebagai usahawan.

"Jadi ini satu pengalaman yang besar kerana mengiktiraf kejayaan kumpulan syarikat KRU dan sumbangan saya, Yusri dan Edri kepada industri, ini satu penghargaan yang begitu bermakna bagi saya dan bagi KRU," katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Sementara itu, pemilihan Ella atau nama sebenar Nor Zila Aminuddin, sebagai penerima Anugerah Inspirasi Usahawan Selebriti sejajar dengan penglibatan aktif beliau dalam bidang perniagaan dan agropreneur selain menjadi inspirasi kepada ramai usahawan wanita.

Ella yang merupakan pengasas bersama Ben Jawi Plantation mengusahakan tanaman fertigasi cili sejak 2017.

Kemudiannya, beliau menceburi bidang fesyen menerusi jenama Rockqueen. 

Anugerah disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zambri Rambli dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin. 

BISA 2026 merupakan platform pengiktirafan perniagaan nasional bagi meraikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri media tempatan, Sinar Harian terus berperanan sebagai platform kewartawanan yang dipercayai, konsisten mengangkat kisah rakyat termasuk perjuangan dan sumbangan usahawan PMKS.

Penganjuran BISA 2026 turut mencerminkan komitmen dalam meraikan pemain industri dan usahawan yang bukan sahaja berjaya membina perniagaan mampan, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi serta masyarakat secara keseluruhan.