Sinar Harian angkat suara rakyat, perkasa komuniti bisnes - Steven

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 9:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sinar Harian angkat suara rakyat, perkasa komuniti bisnes - Steven
Steven ketika berucap dalam BISA 2026 di Damansara pada Rabu. - FOTO: FRosli Talib / Asril Aswandi Shukor
Image from: Sinar Harian angkat suara rakyat, perkasa komuniti bisnes - Steven
Steven (tengah) bersama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri) dan Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi. - FOTO: FRosli Talib / Asril Aswandi Shukor

PETALING JAYA - Bermula sebagai akhbar kecil di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 2006, Sinar Harian hari ini muncul sebagai antara platform media berpengaruh negara yang konsisten mengangkat suara rakyat serta memperkasa komuniti perniagaan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya memuji penganjuran kali kedua Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026 yang berlangsung di Royale Chulan Damansara pada Rabu. 

Ketika ucapan perasmian, Steven akui berbangga apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang mengambil inisiatif mengiktiraf kemampuan dan kebolehan usahawan tempatan, khususnya usahawan Melayu.

Menurut beliau, Sinar Harian bukan sahaja berkembang sebagai sebuah organisasi media, tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk wacana awam.

"Sinar Harian telah memberi ruang kepada suara rakyat dan membantu kita memahami isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.

"Saya hadir anugerah bisnes anjuran media berbahasa Cina, ada usahawan Melayu yang menang anugerah. Saya rasa amat berbangga kerana satu-satunya surat khabar Bahasa Melayu seperti Sinar Harian mengambil inisiatif untuk mengiktiraf usahawan tempatan khususnya Melayu dalam sektor masing-masing.

"Bahtera bukan sebarang bahtera, ini bahtera menakluk bahaya. BISA bukan sebarang BISA, tetapi BISA usahawan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026 di Damansara pada Rabu. 

Menurut beliau, perjalanan dua dekad itu membuktikan bahawa organisasi tempatan mampu berkembang secara mampan dengan berprinsip serta menyesuaikan diri dengan perubahan dan terus kekal relevan. 

"Dari sebuah bilik kecil di pekan Kelantan kepada salah satu platform media paling berpengaruh di negara ini.

“Ini bukan sekadar kisah kejayaan media, tetapi kisah perniagaan tentang bagaimana nilai dan prinsip boleh membina sesuatu yang besar serta kekal relevan dalam landskap yang sentiasa berubah,” katanya lagi.

Steven berkata, pendekatan yang diterjemahkan melalui strategi unik dengan menempatkan wartawan di setiap daerah, membolehkan liputan berkembang secara berperingkat sehingga menembusi seluruh negara.

"Sinar Harian merupakan sekumpulan manusia yang percaya kepada satu perkara bahawa cerita rakyat marhaen layak didengari, bukan cerita orang-orang besar di Kuala Lumpur. 

"Apa yang lebih penting, Sinar Harian bukan sahaja berkembang sebagai sebuah organisasi media tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk wacana awam.

"Sinar Harian telah membuka ruang kepada suara rakyat dan membantu kita memahami perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” ujar Steven.

Mengulas perkembangan semasa, Steven berkata, ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api, kini menekan kos operasi perniagaan dan meningkatkan beban subsidi kerajaan hingga mencecah RM5 bilion sebulan.

**media[3512746]**

Menurut beliau, perkembangan di Selat Hormuz telah mencetuskan turun naik harga minyak dunia dan ia memberi kesan kepada negara. 

"Para peniaga pening kepala untuk letak berapa harga setiap produk mereka untuk dijual sama juga dengan pihak kerajaan yang mana kita tanggung subsidi bahan api sekitar RM700 juta sebulan sebelum ini. 

"Hari ini kita tanggung sekitar RM5 billion sebulan, kenaikan sekitar 800 peratus untuk subsidi yang kerajaan terpaksa tanggung bersamaan RM200 juta sehari atau RM8.3 juta setiap jam atau RM140,000 setiap minit," jelasnya. 

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, ketidaktentuan itu turut menguji keupayaan kerajaan mengurus sumber secara mampan. 

Tegas beliau, keadaan itu menuntut pendekatan jangka panjang termasuk mengurangkan kebergantungan kepada harga tenaga global serta mempercepat peralihan kepada sumber tenaga mampan.

"Atas sebab itu, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah sekitar RM5 bilion pada tahun ini khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Salah satu fokus utama adalah untuk membantu PMKS beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan termasuk pelaburan dalam teknologi seperti tenaga solar, peningkatan kecekapan tenaga dan usaha mengurangkan kos operasi dalam jangka masa panjang," katanya lagi. 

Selain itu, Steven memaklumkan dana tambahan RM5 bilion turut diperuntukkan di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bagi membantu perniagaan terjejas mendapatkan pembiayaan berkadar faedah rendah.

Dalam perkembangan berkaitan, KUSKOP memperkenalkan inisiatif 'PowerUp10K' bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.

Melalui inisiatif tersebut, Steven berkata, sebanyak RM15 bilion dana akan disalurkan tahun ini dengan sasaran memberi manfaat kepada 400,000 usahawan dan koperasi.

"PMKS ketika ini mempunyai nilai RM652 juta daripada jumlah KDNK negara dan kita mahu meningkatkan nilai KDNK PMKS di negara kepada lebih RM700 juta," ujar beliau.