PETALING JAYA - Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara diraikan di Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026, platform pengiktirafan perniagaan nasional anjuran Sinar Harian di bawah Karangkraf.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri media tempatan, Sinar Harian terus berperanan sebagai platform kewartawanan yang dipercayai, konsisten mengangkat kisah rakyat termasuk perjuangan dan sumbangan usahawan PMKS.
Berlangsung dengan kehadiran pemimpin negara dan pemain industri, BISA 2026 bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, sebaliknya satu inisiatif berkepentingan nasional untuk mengiktiraf ketahanan, integriti serta sumbangan signifikan usahawan tempatan kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.
PMKS menyumbang lebih 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menyediakan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat, namun kisah perjuangan dan kecekalan mereka jarang diketengahkan.
Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, BISA diwujudkan untuk merapatkan jurang tersebut dengan meletakkan kisah sebenar keusahawanan di tengah wacana nasional.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan peranan Sinar Harian yang sejak sekian lama memastikan suara dan realiti ekonomi rakyat diberi ruang yang sewajarnya dalam liputan arus perdana.
“BISA mencerminkan peranan media sebagai pemangkin pembangunan negara, bukan sekadar penyampai maklumat. Hampir lima dekad Karangkraf berjalan seiring dengan perjalanan Malaysia.
“Ketika kami menghampiri usia 50 tahun, komitmen kami kekal, menggunakan platform kami secara bertanggungjawab untuk membina komuniti, mengangkat suara rakyat dan memperkasa ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada BISA 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Rabu.
BISA 2026 mengiktiraf seramai 31 usahawan daripada pelbagai sektor dan industri.
**media[3512724]**
Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan, prinsip menggunakan platform secara bertanggungjawab itu selari dengan perjalanan Sinar Harian yang berkembang lebih dua dekad sebagai medium yang bukan sekadar melapor, tetapi turut membentuk kefahaman dan kesedaran awam.
"Kredibiliti ini diperkukuh melalui penjenamaan semula Sinar Harian sebagai 'Suara Rakyat' yang menegaskan komitmen terhadap kewartawanan berintegriti dan representasi suara komuniti.
"BISA 2026 turut membawa aspirasi masa depan, menggalakkan keusahawanan beretika, kerjasama rentas industri serta pertumbuhan mampan dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar," ujarnya.
Menurut Firdaus, sejak diperkenalkan pada 2023, BISA berkembang sebagai sebuah platform yang diyakini, berteraskan kewartawanan berintegriti, penilaian profesional industri serta impak sosioekonomi yang nyata.
Katanya, setiap penerima anugerah dipilih melalui proses saringan rapi oleh kepimpinan editorial Sinar Harian bersama panel pakar industri bebas.
"Sebagai Suara Rakyat, Sinar Harian melihat BISA sebagai kesinambungan peranannya iaitu mengangkat kejayaan usahawan bukan sekadar sebagai pencapaian perniagaan, tetapi sebagai sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
"Menjelang ulang tahun ke-50 Karangkraf, BISA menjadi manifestasi komitmen berterusan kumpulan ini dalam pembinaan negara, mengangkat kisah yang bermakna, menghargai perniagaan yang membawa impak dan memastikan keusahawanan kekal sebagai nadi kemajuan Malaysia," kata beliau lagi.






