Anggota bomba sesak nafas selepas padam kebakaran tiga rumah Terengganu

8 Sep 2026 • 3:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anggota bomba sesak nafas selepas padam kebakaran tiga rumah Terengganu

SHAH ALAM, 8 SEPT: Seorang anggota bomba dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas serta kebas pada tangan dan leher sebaik selesai memadam kebakaran tiga rumah di Taman Perumahan Teluk Pasu, malam tadi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, PBK I Muhammad Hafiz Mohd Nor, mengalami simptom itu ketika jentera kembali ke balai selepas operasi pemadaman selesai, lapor Harian Metro.

Pegawai Operasi BBP Kuala Terengganu, PBT I Yusmizan Yusof berkata, anggota berkenaan kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

“Keadaannya stabil dan sudah dibenarkan pulang pagi ini. Beliau turut dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya,” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 7.18 malam itu, sebuah rumah musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus.

Menurut Yusmizan, pasangan warga emas berusia 78 dan 73 tahun yang tinggal bersama tujuh anak serta cucu berusia antara tujuh hingga 48 tahun antara penghuni yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Rumah kedua dihuni tiga beranak berusia 34, 33 dan empat tahun, manakala sebuah lagi turut didiami tiga beranak.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.18 malam sebelum menggerakkan anggota serta beberapa jentera ke lokasi.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.45 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.52 malam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved