
KUALA PILAH – Masalah anjing liar yang berkeliaran di sekitar pekan Dangi di sini, bukan sahaja mengganggu penduduk, malah didakwa menjadi antara punca kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.
Seorang penduduk, Amir Faisal Mohammad Fazli, 32, berkata, dia menyaksikan kira-kira 10 kemalangan berlaku dipercayai akibat anjing liar sejak setahun membantu bapa saudaranya berniaga di sebuah kedai di pekan berkenaan.
Katanya, kejadian itu berlaku tidak kira siang atau malam apabila anjing berkeliaran dan melintas jalan secara tiba-tiba.
“Masalahnya bukan anjing mengganggu orang, tetapi apabila terlalu banyak berkeliaran, ia boleh menyebabkan kemalangan.
“Ada juga anjing yang cedera atau mati akibat dilanggar kenderaan, manakala bagi orang pula ada yang mengalami patah kaki dan kecederaan pada bahagian muka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Menurut Amir Faisal, masalah itu masih berulang walaupun sebelum ini pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah anjing liar di pekan Dangi.
Katanya, perkara itu telah dikemukakan kepada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), termasuk dibawa dalam mesyuarat majlis berkenaan.
“MDKP sebelum ini pernah memasang perangkap anjing liar di kampung berhampiran sebagai usaha menangani masalah tersebut.
“Kita mohon pihak majlis mengambil langkah lebih drastik bagi mengatasi masalah ini, selain memberi maklumat dan kesedaran kepada penduduk,” katanya.
Menurut beliau, kewujudan anjing liar dalam jumlah yang banyak di kawasan berkenaan juga mungkin berkait dengan pembukaan beberapa ladang durian berhampiran.
Katanya, perkara itu perlu diteliti bagi memastikan masalah anjing liar tidak terus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya serta penduduk setempat.
The post ‘Anjing sini semua tak makan saman’ appeared first on Kosmo Online.






