Annas dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju baharu

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 10:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Annas (kanan) dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR - Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju pada Rabu.

Annas menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu dimulakan dengan penandatanganan dan pertukaran dokumen antara Annas dan Mohamad Lazim.

Fadil berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim atas khidmat bakti sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan Mohamad Lazim, pelbagai usaha, inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan dalam memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

"Sepanjang kepimpinan Mohamad Lazim, pelbagai kejayaan telah dicapai khususnya dalam aspek operasi, tangkapan dan pencegahan jenayah," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu jelas membuktikan kepimpinan yang berteraskan integriti, komitmen tinggi dan rasa tanggungjawab yang utuh dalam memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

"Sepanjang tempoh setahun 11 bulan 26 hari, iaitu hampir dua tahun perkhidmatan Mohamad Lazim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, beliau telah menunjukkan prestasi kepimpinan yang cemerlang serta nilai integriti yang tinggi," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepakaran dalam bidang jenayah siber, pelantikan Mohamad Lazim sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), JSJK Bukit Aman adalah bertepatan.

"Saya percaya pucuk pimpinan pasukan telah membuat pertimbangan yang tepat dalam menempatkan Mohamad Lazim di jawatan tersebut, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki," katanya.

Fadil berkata, tugas sebagai Ketua Polis Daerah bukanlah satu tanggungjawab yang ringan, apatah lagi dalam mendepani cabaran semasa serta trend jenayah yang semakin kompleks.

"Namun begitu, dengan kepimpinan yang mantap serta semangat 'esprit de corps' dalam kalangan pegawai dan anggota, saya yakin setiap cabaran mampu diharungi dengan jayanya.

"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Wangsa Maju untuk memberikan sokongan kepada Annas selaku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu dalam meneruskan agenda kecemerlangan pasukan," katanya.