
SHAH ALAM, 25 NOV: Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan masih belum diterima, sebaliknya beliau diminta bercuti terlebih dahulu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah bertemu Setiausaha Agung DAP itu dan meminta beliau mengambil cuti buat sementara waktu.
"Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
"(Saya ada) jumpa (Loke), dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu... cuti dahulu," katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas status Loke susulan pengumuman peletakan jawatannya daripada Kabinet baru-baru ini.
Mengulas mengenai pengurusan Kementerian Pengangkutan sepanjang ketiadaan Loke, Anwar berkata urusan kementerian berjalan seperti biasa dengan adanya Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan pengurusan tertinggi.
"Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung (pantau juga) sekejap," katanya.
Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.






