Anuar Fariz berundur sebagai CEO MDEC pada 2 Oktober 2026 selepas kontrak 2 tahun tamat

LocalTechnology
29 Sep 2026 • 11:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anuar Fariz berundur sebagai CEO MDEC pada 2 Oktober 2026 selepas kontrak 2 tahun tamat Image from: Anuar Fariz berundur sebagai CEO MDEC pada 2 Oktober 2026 selepas kontrak 2 tahun tamat hamden29/09/2026 - 11:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, akan menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas kontrak dua tahun beliau berakhir pada 2 Oktober 2026.

 

MDEC dalam kenyataan pada Selasa berkata Anuar telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa selepas pertimbangan sewajarnya, beliau memutuskan untuk tidak memohon pembaharuan kontrak bagi meneroka peluang baharu di luar MDEC.

 

Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah, berkata Lembaga Pengarah menghormati keputusan berkenaan dan menyifatkan Anuar sebagai pemimpin yang menerajui MDEC dengan “akal dan hati”.

 

“Sepanjang bekerja rapat dengan Anuar, saya amat menghargai pertimbangan, keterbukaan serta komitmen beliau terhadap MDEC dan rakan-rakan sekerja,” katanya.

 

Sementara itu, Anuar berkata menerajui MDEC merupakan antara penghormatan terbesar dalam kehidupan profesionalnya.

 

“Ketika saya menerima tanggungjawab untuk menerajui MDEC, saya melakukannya dengan kepercayaan mudah bahawa kita boleh sekali lagi berada di barisan hadapan dan memainkan peranan penting dalam lembaran digital Malaysia yang seterusnya,” katanya.

 

Beliau berkata, dirinya mahu MDEC dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah aktiviti yang diumumkan, tetapi berdasarkan hasil yang dicapai untuk negara, industri dan rakyat.

 

“Segala yang telah kita capai adalah hasil usaha insan luar biasa di MDEC serta rakan-rakan dalam ekosistem teknologi yang mempercayai misi kita,” katanya.

 

Masa paling sesuai

Anuar berkata selepas membuat pertimbangan mendalam, beliau memutuskan selepas tamatnya kontrak semasa merupakan masa yang tepat untuk meneroka peluang baharu di luar MDEC.

 

“Ini bukan keputusan yang mudah. MDEC, warga kerjanya dan misi organisasi ini telah membawa makna yang begitu besar kepada saya,” katanya.

 

Dalam pada itu Ganesh menambah, di bawah kepimpinan Anuar, MDEC kini lebih kukuh, lebih fokus dan lebih bersedia. 

 

"Asas yang dibina oleh Anuar akan terus membentuk kerja MDEC jauh selepas tempoh perkhidmatannya,” katanya.

 

RM180 bilion pelaburan digital

Sepanjang tempoh kepimpinan Anuar, MDEC memperoleh hampir RM180 bilion pelaburan digital daripada lebih 1,000 syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) bagi tempoh 2025 hingga Ogos 2026.

 

Pelaburan tersebut dijangka mewujudkan lebih 42,000 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

 

MDEC berkata pencapaian itu mencerminkan ekonomi digital negara yang semakin matang dan beralih dengan ketara ke arah pertumbuhan bernilai lebih tinggi yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

 

Perkembangan itu turut meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna, malah sebagai pencipta teknologi.

 

Selain pelaburan, Anuar memperkukuh fokus MDEC terhadap pelaksanaan, kebertanggungjawaban dan hasil ekonomi yang boleh diukur, dengan prestasi organisasi berteraskan pekerjaan, eksport, hasil dan pelaburan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved