Anwar akui bantuan kerajaan belum cukup kurangkan beban rakyat

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 4:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar akui bantuan kerajaan belum cukup kurangkan beban rakyat

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pelbagai bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan setakat ini masih belum mencukupi untuk mengurangkan sepenuhnya beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sedar masih banyak perkara perlu diperbaiki meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta kumpulan masyarakat lain.

“Apakah ini memuaskan saya? Tidak. Apakah ini dapat mengurangkan kesengsaraan kos sara hidup? Belum. Kita akui harus ada langkah-langkah yang berterusan diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Katanya, kerajaan berdepan cabaran besar untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan sewajarnya, termasuk golongan T20, M40, B40, Melayu Bumiputera, masyarakat Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, dalam keadaan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM15 bilion tahun ini, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak mengabaikan golongan M40 seperti didakwa sesetengah pihak yang menganggap tumpuan bantuan hanya diberikan kepada B40.

Katanya, kerajaan pada 2023 menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak dua peratus yang memberi manfaat kepada golongan M40, dengan langkah itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil kira-kira RM1 bilion.

Selain itu, katanya, Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan kepada RM150 bagi setiap murid tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Bantuan awal persekolahan yang disampaikan kepada semua murid dengan kadar dinaikkan kepada RM150 setiap murid, tidak mengira latar belakang keluarga mereka, ini juga dapat bantuan cukai,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan turut memperluas pemberian SARA daripada sekali kepada dua kali, selain mempertimbangkan rayuan supaya bantuan berkenaan ditingkatkan.

Katanya, penyasaran subsidi elektrik yang sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan sesetengah pihak turut memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna dengan kos ditanggung kerajaan sebanyak RM4 bilion.

Pada masa sama, beliau mengakui rakyat mempunyai hak untuk mengkritik dan memberi pandangan terhadap langkah kerajaan, namun meminta semua pihak tidak menafikan usaha yang telah dilaksanakan.

“Kita terima ini yang dilakukan, belum cukup, kerana kalau tidak kita hanya mengeluh, membebel tentang hal yang belum dilakukan tapi tidak pernah mengakui dan bersyukur ke hadrat Allah SWT atas apa yang kita capai,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut menanggung subsidi petrol dan diesel yang memberi manfaat kepada hampir semua golongan M40 dan T20 dengan kos tambahan kira-kira RM40 bilion.

Beliau berkata, peruntukan kepada semua negeri juga meningkat di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, selain pelbagai program di peringkat akar umbi seperti Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan Sejati Madani yang terus diperkasakan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan tidak pernah menganggap semua masalah rakyat telah selesai.

Katanya, kerajaan memahami rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula terus menghadapi tekanan kos operasi.

“Ini bukan tirai untuk menutup keluh-kesah rakyat. Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.

“PMKS berdepan dengan tekanan kos. Prasarana sekolah dan kesihatan rata-rata tempat, setiap Jumaat saya dengar rintihan anak-anak kecil tentang kemudahan sekolah,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu kesesakan di fasiliti kesihatan awam, termasuk di Putrajaya, Kuala Lumpur dan daerah-daerah lain, apabila ibu bapa, anak-anak serta keluarga masih terpaksa beratur dan berdepan tekanan ketika mendapatkan perkhidmatan hospital dan klinik.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah berterusan untuk memperbaiki kelemahan, mengekalkan kestabilan serta merancang pembangunan ekonomi negara dengan baik demi menjaga kepentingan semua rakyat. – UTUSAN

The post Anwar akui bantuan kerajaan belum cukup kurangkan beban rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved