Bantuan Memang Belum Cukup, Masih Banyak Perlu Dibuat Untuk Tangani Kos Sara Hidup - PM

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 8:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bantuan Memang Belum Cukup, Masih Banyak Perlu Dibuat Untuk Tangani Kos Sara Hidup - PM

PUTRAJAYA - Pelbagai bentuk bantuan dan subsidi disalurkan kerajaan setakat ini masih belum mencukupi untuk mengurangkan sepenuhnya tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Mengakui perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu terus mengambil langkah tambahan walaupun berbilion ringgit telah dibelanjakan bagi pelbagai bentuk bantuan dan subsidi.

Menurut beliau, kerajaan menyedari isi rumah, golongan perniagaan serta masyarakat secara keseluruhannya masih berdepan tekanan kewangan, justeru langkah sedia ada tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada semua masalah rakyat.

“Adakah saya berpuas hati? Tidak. Adakah ini dapat mengurangkan kesengsaraan akibat kos sara hidup? Belum.

“Kita mengakui bahawa langkah-langkah berterusan perlu diambil,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan perlu memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat daripada semua kelompok pendapatan, termasuk golongan B40, M40 dan T20, selain masyarakat di Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan gabungan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini mencecah RM15 bilion, jumlah tertinggi pernah diperuntukkan setakat ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menolak tanggapan bahawa golongan M40 telah diketepikan daripada menerima bantuan kerajaan.

Antara inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan itu katanya, ialah pengurangan dua mata peratusan kadar cukai pendapatan yang diperkenalkan pada 2023, sekali gus menyebabkan kerajaan melepaskan hasil kira-kira RM1 bilion.

“Kerajaan turut meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM150 bagi setiap murid tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Selain itu, bantuan SARA diperluaskan daripada satu kepada dua bayaran, manakala kerajaan juga sedang mempertimbangkan rayuan untuk menambah baik bantuan berkenaan,” katanya.

Menyentuh mengenai subsidi elektrik, Anwar berkata, pelaksanaan subsidi bersasar memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna dengan kerajaan menanggung kos kira-kira RM4 bilion.

Menurutnya, kerajaan turut membelanjakan sekitar RM40 bilion bagi subsidi petrol dan diesel yang memberi manfaat kepada hampir keseluruhan isi rumah daripada kumpulan M40 dan T20.

Namun tegas beliau, jumlah perbelanjaan yang besar itu tidak bermakna kerajaan beranggapan masalah dihadapi rakyat telah selesai.

“Ini bukan satu tabir untuk menutup keluhan rakyat. Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup,” katanya.

Anwar turut mengakui perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus berdepan peningkatan kos operasi, selain isu berkaitan kemudahan infrastruktur sekolah dan fasiliti kesihatan awam yang masih memerlukan perhatian.

Katanya, beliau masih menerima rungutan mengenai keadaan di hospital dan klinik, termasuk masalah barisan panjang yang terpaksa dihadapi pesakit serta ahli keluarga mereka di Putrajaya, Kuala Lumpur dan kawasan lain.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengumumkan, dana berjumlah berbilion ringgit yang berjaya diperoleh semula menerusi prosiding undang-undang daripada hasil kegiatan menyalahi undang-undang akan dipulangkan kepada rakyat, khususnya bagi tujuan pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, dana berkenaan melibatkan kes yang menyaksikan tindakan diambil terhadap syarikat atau individu atas kesalahan termasuk salah laku, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, kerajaan mahu memastikan wang yang berjaya diperoleh semula hasil keputusan mahkamah serta proses perundangan akhirnya kembali memberi manfaat kepada rakyat.

“Apabila kekayaan disita melalui mahkamah dan proses perundangan akibat salah laku syarikat atau individu, rasuah atau penyalahgunaan kuasa, jumlahnya mencecah berbilion ringgit.

“Hari ini, saya mengisytiharkan bahawa semua dana yang diperoleh semula daripada hasil haram menerusi proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman akan dipulangkan kepada rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti sambil mengambil langkah lanjut untuk memastikan kestabilan ekonomi negara terpelihara serta menangani tekanan yang terus dihadapi rakyat. - Getaran, 30 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved