Anwar: Individu rugikan Tabung Haji akan didakwa jika bersalah

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 6:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anwar: Individu rugikan Tabung Haji akan didakwa jika bersalah

JELEBU, 29 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji (TH) berdasarkan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan hari ini, akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.

“Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh polis, SPRM, Bank Negara ... semua akan disiasat.

“Kalau ada bukti, (akan) didakwa (di mahkamah). Biar masuk mahkamah (untuk dibicarakan) dan biar masuk penjara (jika disabitkan bersalah), tidak ada masalah, itu aturan negara ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020 akan dibuat pengelasan semula dan didedahkan hari ini.

Fahmi dalam satu kenyataan berkata laporan siasatan itu juga akan dibentangkan dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kabinet sebelum ini mendapat taklimat daripada Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang memaklumkan bahawa TH rugi sebanyak RM10 bilion.

Beliau berkata kerugian TH bermula sejak 2014 dan pernah mendapat teguran daripada Bank Negara, namun perkara itu tidak diendahkan oleh pihak berkaitan.

“(TH) rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah … (perkara itu) berlaku sejak 2014.

“Pada 2014, Bank Negara, Gabenor Bank Negara tulis kepada TH ada pelanggaran, tetapi tidak dipedulikan,” kata beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved