Anwar minta hentikan spekulasi, beri ruang kepada keluarga mangsa nahas PDU

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 1:54 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Anwar minta hentikan spekulasi, beri ruang kepada keluarga mangsa nahas PDU

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Long Lellang, Sarawak yang meragut lima nyawa, petang semalam.

Beliau berkata, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada keluarga mangsa yang kini berdepan saat sukar sementara menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kejadian berkenaan.

“Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas tragedi berkenaan dan berkata, ingatan serta doanya bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama keluarga kesemua mangsa.

“Moga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan memberikan segala bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa susulan tragedi berkenaan.

Nahas itu melibatkan sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace ketika dalam penerbangan dari Miri menuju ke Long Lellang.

Helikopter berkenaan sedang menjalankan misi PDU yang menyediakan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar diakses di Sarawak.

Tragedi itu mengorbankan lima individu terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol; pegawai perubatan, Dr Ainul; Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

PDU merupakan antara perkhidmatan penting dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak yang mempunyai kekangan akses darat terus menerima rawatan dan perkhidmatan kesihatan. 

The post Anwar minta hentikan spekulasi, beri ruang kepada keluarga mangsa nahas PDU appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved