
KUALA LUMPUR – Kesemua lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Marudi, Sarawak ditemukan selepas pesawat berkenaan terhempas dan terbakar, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan jasad tidak sempurna susulan kebakaran yang berlaku selepas helikopter berkenaan terhempas.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis berjaya membuat pengecaman awal terhadap kesemua mangsa berdasarkan barang peribadi, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk masing-masing.
“Tidak ada satu pun jasad ataupun mangsa yang kita jumpai sempurna,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, pengecaman secara rasmi akan dilakukan pihak hospital menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, sampel DNA daripada keluarga kesemua mangsa juga telah diambil bagi membantu proses pengecaman rasmi.
“Untuk cebisan-cebisan dan juga jasad-jasad ini akan kita bawa ke hospital untuk kita buat ujian juga,” katanya.
Kelima-lima mangsa dikenal pasti sebagai juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Debra Moset, 40, Jessie Paya Jok, 44, dan Alexson Adit Henry, 31.
Helikopter BO-105S itu dilaporkan terhempas di hujung landasan terbang Long Lellang kira-kira jam 3.40 petang semalam.
Proses pengecaman rasmi mangsa kini bergantung kepada keputusan ujian DNA yang akan dijalankan pihak hospital.
The post Lima mangsa helikopter terhempas ditemukan, tiada satu pun jasad sempurna dijumpai appeared first on MYBERITA.






