Anwar patut pecat Menteri BN yang tidak sehaluan dasar, kepimpinan Kerajaan Perpaduan: Muhyiddin

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 4:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Anwar patut pecat Menteri BN yang tidak sehaluan dasar, kepimpinan Kerajaan Perpaduan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan dasar dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan sepatutnya mempertimbangkan untuk meninggalkan pentadbiran itu daripada mengkritiknya secara terbuka.

Menurut Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika beliau menjadi Perdana Menteri, sudah lama beliau merombak Kabinet dan memecat mereka itu.

Ini kerana, katanya, pendirian BN semakin menimbulkan kekeliruan memandangkan parti itu masih mempunyai wakil dalam kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri.

“Kalau saya jadi Perdana menteri, saya sudah lama memecat mereka. Saya akan merombak Kabinet bagi memastikan mereka yang tidak bersetuju dengan saya tidak boleh kekal di situ, malah tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sebab mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan. Mungkin tujuan itulah yang mereka lakukan supaya kerajaan yang dipimpin Anwar akan tumbang," katanya, lapor Sinar Harian.

Muhyiddin berkata demikian ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi calon Bersatu di kerusi Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee di Melaka, hari ini.

Beliau memberitahu, sebagai anggota kerajaan, sebarang ketidakpuasan hati terhadap dasar atau keputusan pentadbiran sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan di peringkat parti atau Kabinet, bukannya diluahkan secara terbuka.

"Prinsipnya, kalau kita menjadi anggota dalam sebuah kerajaan, kita tidak mengecam kerajaan sendiri atau parti yang ada dalam kerajaan. Itu prinsip biasa.

"Apa-apa isu yang tidak dipersetujui, bawa berbincang di peringkat parti atau Kabinet, bukan diluahkan di luar sehingga menunjukkan bukan sahaja berlaku keretakan, malah seolah-olah Kerajaan Perpaduan sudah mahu pecah," jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mula menjalani hukuman secara tahanan rumah, Muhyiddin berkata beliau memahami pendirian Loke.

"Itu pandangan beliau. Beliau seorang ahli politik kanan dan kita tahu pendirian serta keadaan yang dihadapinya. Saya juga mengenali beliau secara peribadi," katanya.

Muhyiddin berkata keputusan Loke itu mencerminkan pendirian DAP berhubung perkara berkaitan kes Najib.

Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan itu berkata, perletakan jawatannya akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediaman untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Loke berkata surat peletakan jawatannya sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lepas dan beliau akan mengemukakan surat tambahan bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.

Loke berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian tegas parti berkenaan berhubung isu tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu. - 7 November, 2026

The post Anwar patut pecat Menteri BN yang tidak sehaluan dasar, kepimpinan Kerajaan Perpaduan: Muhyiddin appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved