
MELAKA: Pertelingkahan terbuka antara pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja menunjukkan wujud keretakan dalam hubungan tetapi seolah-olah pentadbiran itu hampir berpecah.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan tersebut membimbangkan kerana boleh menjejaskan kestabilan kerajaan serta pelaksanaan dasar dan program yang dijanjikan kepada rakyat.
Menurutnya, pemimpin parti yang menganggotai kerajaan sepatutnya menyelesaikan sebarang pertikaian melalui rundingan dalaman dan bukannya mengkritik kepemimpinan secara terbuka.
“Biasanya prinsipnya kalau jadi anggota dalam sebuah kerajaan, jangan kecam kerajaan sendiri ataupun parti yang ada dalam kerajaan.
“Apa-apa, kalau ada pun, bawa berunding. Dalam peringkat parti boleh ataupun dalam Kabinet kalau ada isu tertentu yang tak puas hati.
“Bukan diluahkan di luar yang menunjukkan bahawa sudah ada bukan sahaja keretakan, macam sudah nak pecah Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Bachang di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, walaupun perkembangan itu memberikan kelebihan kepada pembangkang, keadaan tersebut tetap membimbangkan kerana kestabilan kerajaan penting bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan.
“Saya di pihak pembangkang, saya sukalah. Tapi maksud saya tadi ialah apa yang sedang berlaku ini satu perkara yang cukup membimbangkan.
“Dalam keadaan tak ada perbalahan, perpecahan pun tak dapat dilaksanakan. Janji banyak tinggal janji. Apalagi bila dah ada isu macam ini, dah ada perbalahan,” katanya.
Beliau berkata, semua kementerian perlu melaksanakan dasar dan program kerajaan tanpa mengira pendirian politik menteri masing-masing.
Katanya, pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk meninggalkan pentadbiran.
“Jadi kalau saya pun biasa berfikir, kalau begitu, elok mereka keluar.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya dah buanglah.
“Saya rombak Kabinet, saya tentukan supaya mereka yang tak sehaluan dengan saya ini tak boleh duduk di situ, malahan tak boleh bersama dalam kerajaan pun,” katanya. – UTUSAN
The post Kalau saya PM, saya dah buang pemimpin BN – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.






