
PETALING JAYA – Siapa sangka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mempelajari seni mempertahankan diri ketika zaman mudanya.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Zulkifli Hassan, nama Anwar bin Ibrahim didakwa antara individu yang pernah mendaftar sebagai ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) pada 1974.
Perkongsian itu turut memaparkan gambar sebuah buku Daftar Ahli PSSCM yang menunjukkan nama Anwar bin Ibrahim pada bilangan 234, bersama beberapa nama lain yang direkodkan dalam buku berkenaan.
“Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa YAB PMX pernah belajar silat seawal 1974.
“YAB PMX pernah belajar silat dengan Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad,” tulis hantaran itu.
Lebih menarik, Zulkifli berkata buku daftar berkenaan ditunjukkan sendiri oleh Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah.
“Boleh rujuk buku Daftar Ahli yang mencatatkan nama Anwar bin Ibrahim (No. 234) mendaftar dan belajar silat Cekak pada 1974 semasa YAB PMX di Yayasan Anda lagi,” katanya.
Selain itu katanya, hubungan Anwar dengan PSSCM juga bukan perkara baharu apabila bangunan persatuan itu di Jalan Sentul, Kuala Lumpur pernah dirasmikan beliau pada 21 Februari 1985, ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertanian.- KOSMO! ONLINE
The post Anwar pernah belajar Silat Cekak pada 1974 appeared first on Kosmo Online.






