Anwar tunggu laporan lengkap siasatan Felda sebelum buat pengumuman rasmi

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 1:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar tunggu laporan lengkap siasatan Felda sebelum buat pengumuman rasmi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama

BANGI -  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.

"Pasukan petugas khas itu telah bermula dan saya tunggu lengkap siasatan, baru kita umumkan dalam masa singkat.

"(Aspeknya merangkumi) semua perkara tentang pengurusan, membaiki pengurusan … tentunya mengenal pasti permasalahan lepas, tetapi yang pentingnya ialah pengurusan kini dan langkah-langkah ke depan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Pengarah Besar, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Sebelum ini, media memaklumkan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan FELDA dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum.

Anwar berkata, beliau akan mengeluarkan laporan berkenaan kepada umum sebaik sahaja disiapkan dan meminta orang ramai membacanya seperti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved