'Kami masih simpan hasrat kembalikan ayahanda ke pangkuan keluarga' - Mohamad Nizar

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 11:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kami masih simpan hasrat kembalikan ayahanda ke pangkuan keluarga' - Mohamad Nizar
Mohamad Nizar. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Keluarga sentiasa mencari ikhtiar dan jalan terbaik bagi memastikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan keluar dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, meskipun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu, pihaknya tidak akan berputus asa.

"Ya usaha itu sentiasa kami ikhtiar secara langsung mahupun tidak langsung cuma agak mencabarlah.

"Setelah dua kali keputusan mahkamah tidak berpihak kepada ayahanda saya, apa pun kami tidak berputus asa.

"Saya pun tak tahu bila boleh berjaya, tapi kami masih menyimpan niat dan hasrat untuk kembalikan ayahanda ke pangkuan keluarga, insya-ALLAH," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu berkata demikian mengulas tentang tarikh 23 Ogos 2026 yang merupakan genap empat tahun bapanya berada di dalam penjara.

Mohamad Nizar ditemui Sinar Harian ketika sidang akhbar Program Town Hall Rakyat dihoskan pelakon, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Program berlangsung pada jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Pada 22 Disember 2025, Sinar Harian melaporkan, harapan Najib untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi Putrajaya menolak permohonannya.

Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.

Menurutnya, titah itu tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Ketika membaca keputusan lebih 50 minit, beliau berkata, Lembaga Pengampunan tidak diberikan sebarang nasihat berhubung perkara yang dipertikaikan.

Anak kelahiran Pahang itu menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022 kerana didapati bersalah atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved