AIDILFITRI tahun ini mencatatkan insiden khemah yang menjual mercun dan bunga api terbakar di beberapa lokasi seluruh negara.
Setakat 24 Mac 2026, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan sebanyak tujuh kes premis atau khemah jualan mercun yang terbakar yang tentunya mengakibatkan kerugian yang bukan sedikit.
Ketika ini ia mendapat perhatian serius pihak berkuasa kerana berlaku dalam tempoh yang singkat sepanjang musim perayaan walaupun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini dan terus mengaitkannya dengan kebenaran jualan yang diberikan pihak berkuasa sebelum ini.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) menggesa agar kelulusan itu ditarik balik kerana ia tidak memberikan manfaat.
ABIM pula mengesyorkan pengelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian yang lebih ketat, penetapan zon penggunaan yang sesuai serta penguatkuasaan yang lebih proaktif sebelum musim perayaan.
Ada rasionalnya kepada semua cadangan ini kerana kita dapat melihat impaknya kepada masyarakat tidak kira sama ada ketika Aidilfitri, Tahun Baharu Cina mahu pun perayaan lain.
Duit habis dibelanjakan untuk membeli mercun, kemudian dibakar begitu saja atas alasan untuk memeriahkan hari raya.
Bila khemah pula terbakar, habis semua kenderaan dan harta benda yang terletak berdekatan turut ‘rentung’ bersama.
Tanya diri, di mana manfaatnya? Adakah raya tidak meriah tanpa dentuman mercun? Tambahan dalam konteks perang di Asia Barat, apakah kita tidak ada sensitiviti bila melihat negara lain dibedil dengan peluru serta roket? Ini semua perlu direnung dalam-dalam.
Justifikasinya mudah, tanya diri apakah faedah membeli, bermain, menjual mercun kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Hampir tidak ada bukan? Di situlah jawapannya.
Eloklah kaji semula kebenaran untuk menjual mercun ini sebelum berlaku kejadian yang lebih tragis.

