
LUMUT – Seramai 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang cuba memasuki negara melalui jalan laut berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan AM (PGA) di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua mereka ditahan menerusi satu operasi bersepadu bersama PGA di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Perak di sini.
Katanya, operasi yang bermula kelmarin itu melibatkan dua aset APMM iaitu KM Nusa dan Bot Penggalang 1639 bagi melaksanakan rondaan, pengesanan serta pemintasan terhadap bot yang disyaki membawa PATI.
“Pada pukul 4.20 pagi, Bot Penggalang 1639 mengesan sebuah bot yang dipercayai dari Indonesia dan disyaki membawa PATI.
“Bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan gelap menuju ke arah Pantai Teluk Frigi,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke arah pantai sebelum merapat di kawasan berkenaan.
“Pasukan darat PGA yang berada di lokasi kemudiannya bertindak pantas dan berjaya menahan 34 orang PATI pada pukul 5 pagi,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 12 perempuan.
“Kesemua PATI telah diserahkan kepada pihak PGA untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan kerjasama dan tindakan bersepadu antara APMM dan PGA dalam mengekang cubaan kemasukan PATI serta aktiviti rentas sempadan melalui laluan laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post APMM, PGA berkas 34 PATI Indonesia appeared first on Kosmo Digital.






