
LUMUT: Cubaan menyeludup masuk 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut gagal apabila bot yang dipercayai dari Indonesia dipintas pihak berkuasa di Pantai Teluk Frigi, di sini, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua PATI terbabit ditahan dalam operasi bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula pada 8 Ogos lalu.
Menurut beliau, operasi itu membabitkan dua aset Maritim Malaysia iaitu KM Nusa dan Bot Penggalang 1639 bagi melaksanakan rondaan, pengesanan dan pemintasan terhadap bot yang disyaki membawa PATI.
“Pada pukul 4.20 pagi, Bot Penggalang 1639 mengesan sebuah bot yang dipercayai dari Indonesia dan disyaki membawa PATI.
“Bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan gelap menuju ke arah Pantai Teluk Frigi sebelum bertindak memecut laju apabila menyedari kehadiran aset penguat kuasa.
“Bot terbabit kemudian merapat di kawasan pantai sebelum Tim Darat PGA yang berada di lokasi bertindak pantas menahan 34 PATI pada pukul 5 pagi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 12 perempuan, diserahkan kepada PGA untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Operasi ini membuktikan keberkesanan kerjasama dan tindakan bersepadu antara Maritim Malaysia dan PGA dalam mengekang cubaan kemasukan PATI serta aktiviti rentas sempadan melalui laluan laut.
“Maritim Malaysia sentiasa komited memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang, termasuk penyeludupan migran dan kemasukan PATI melalui laluan laut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – UTUSAN
The post Cubaan masuk 34 PATI gagal, bot berjaya dipintas pihak berkuasa appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Penyamun ‘hoodie’ biru terkejut dengar jeritan penghuni](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-06-at-20.02.03-1024x576.jpeg)



