Pelbagai pengeluar komputer riba sedia menawarkan komputer riba dengan sokongan skrin sentuh, sekaligus memudahkan interaksi dalam membuat tugasan. Apple setakat ini tidak menyediakan penawaran berkenaan, dan meminta pengguna menggunakan iPad sekiranya inginkan sesuatu seumpamanya.

Namun, pada tahun ini, perkara berkenaan dijangka berubah. Mengikut laporan Bloomberg, Apple dijangka memperkenalkan MacBook Pro dengan sokongan skrin sentuh pada tahun ini. Bersama-sama dengan sokongan skrin sentuh, ia juga akan menyertakan takuk bersama Dynamic Island.
Apple turut dikatakan akan membawa beberapa perubahan pada sistem operasi macOS sendiri dalam membolehkan sokongan skrin sentuh ini berjalan lancar dan memberikan pengalaman pengguna yang baik.
Kemaskini ini dijangka merupakan tambahan kepada MacBook Pro dengan cip M5 Pro dan M5 Max yang dijangka diperkenalkan dalam beberapa minggu lagi.



