Penganalisa CCS Insight kini menyasarkan Apple untuk memperkenalkan cincin pintar tersendiri seawal 2026, sekaligus menyaingi penawaran oleh Samsung, selain pada masa yang sama meneruskan penawaran produk memfokuskan kepada kesihatan dan kecergasan.
Sekiranya ramalan ini tepat, maka ini turut akan memperlihatkan Apple memasuki kategori produk baharu, selepas pengenalan Apple Vision Pro sebelum ini. Ramalan baharu ini mengambil kira beberapa perkara, termasuk Tim Cook sendiri yang dilihat sangat memfokuskan kepada penawaran berasaskan kecergasan dan kesihatan dibawah pengurusan beliau.
Apple sedia mengintegrasikan ciri kesihatan mereka bukan sahaja pada telefon pintar dan jam tangan pintar, tetapi turut diperluaskan pada fon telinga.

Pada hari ini, untuk Samsung sendiri, walaupun telah melancarkan cincin pintar Galaxy Ring, namun ia masih tidak ditawarkan secara meluas. Hal ini mungkin kerana cabaran penyesuaian mengikut saiz jari, selain melihat kepada reaksi awal pengguna cincin pintar berkenaan.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan dan ikuti perkembangan arena cincin pintar ini.
