Arab Saudi keluar amaran serangan Houthi

WorldPolitics
16 Aug 2026 • 11:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Arab Saudi keluar amaran serangan Houthi

RIYADH: Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran pada Ahad mengenai potensi bahaya di wilayah Jazan di selatan negara itu, yang bersempadan dengan Yemen dan sejak kebelakangan ini menjadi sasaran kumpulan Houthi dari negara berkenaan.

“Amaran telah dikeluarkan oleh Platform Amaran Awal Kebangsaan di Wilayah Jazan bagi memberi amaran mengenai potensi bahaya,” menurut kenyataan agensi itu. 

Amaran seumpama itu biasanya dikeluarkan sebelum kemungkinan berlakunya serangan yang menyasarkan sesuatu kawasan.

Kumpulan pemberontak Houthi di Yemen yang mendapat sokongan Teheran telah berulang kali menyasarkan kemudahan tenaga dan petroleum di Jazan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Gencatan senjata yang berlangsung selama beberapa tahun dalam perang saudara Yemen antara kumpulan Houthi dengan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi dan diiktiraf masyarakat antarabangsa, kelihatan runtuh bulan lalu apabila pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dan Iran tercetus.

Keruntuhan perjanjian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 itu berlaku ketika kumpulan Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, menyerang kapal tangki negara beraja itu di Laut Merah dan infrastruktur minyaknya. Perkembangan tersebut berlaku serentak dengan Iran yang menyekat Selat Hormuz di seberang Semenanjung Arab.

Kumpulan Houthi menguasai kawasan yang luas di Yemen, termasuk ibu negara Sanaa dan kawasan di sepanjang sempadan dengan wilayah Arab Saudi yang menghadap Laut Merah. – AFP

The post Arab Saudi keluar amaran serangan Houthi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved