Aratas Corp labur RM259 juta bina kilang baharu di Selangor

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 4:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aratas Corp labur RM259 juta bina kilang baharu di Selangor Image from: Aratas Corp labur RM259 juta bina kilang baharu di Selangor hamden11/08/2026 - 16:32 Lakaran artis kilang baharu Aratas Corp yang bakal dibina di taman perindustrian COMPASS @ Kota Seri Langat, Selangor. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - OMRON Malaysia Sdn Bhd, cabang pembuatan Aratas Corp (Kumpulan OMRON), melabur ¥10 bilion (RM259 juta) untuk membangunkan kemudahan pembuatan canggih baharu di COMPASS @ Kota Seri Langat (COMPASS), Selangor.

 

Pelaburan itu dijangka memperkukuh kapasiti pembuatan kumpulan berkenaan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di India dan rantau Asia Pasifik.

 

Dalam kenyataan hari ini, OMRON Malaysia yang dijadualkan menukar nama kepada Aratas Components Malaysia Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli bagi memperoleh tapak seluas 17 ekar dalam kawasan perindustrian terurus berkenaan.

 

Pembinaan kemudahan itu dijadualkan bermula pada Oktober 2026 selepas memperoleh kelulusan yang diperlukan, dengan operasi dijangka bermula pada penghujung 2027.

 

Kilang baharu berkenaan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran OMRON Malaysia kepada 1.5 kali ganda daripada tahap semasa dan menyumbang lebih 10% kepada jumlah kapasiti pengeluaran global Aratas.

 

Kemudahan tersebut akan memberi tumpuan kepada pengeluaran geganti, soket dan produk lain bagi memenuhi pertumbuhan permintaan di India serta Asia Pasifik.

 

Pengarah COMPASS IP Sdn Bhd, Datuk Stewart LaBrooy berkata, pelaburan itu mencerminkan kelebihan COMPASS sebagai kawasan perindustrian yang direka untuk menyokong operasi pembuatan canggih pada skala besar.

 

“Sebagai kawasan perindustrian terurus pertama di Selangor yang mendapat penarafan hijau, kami menyediakan daya tahan infrastruktur, kesalinghubungan serta persekitaran yang sejajar dengan prinsip ESG yang diperlukan syarikat multinasional untuk memastikan rantaian bekalan mereka kekal berdaya tahan pada masa hadapan.

 

“Bagi Aratas, kemudahan ini bukan sekadar peluasan operasi, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang dimungkinkan oleh kawasan perindustrian yang dibangunkan khusus untuk menyokong pembuatan canggih pada skala besar,” katanya.

 

COMPASS merupakan pembangunan usaha sama antara Permodalan Nasional Bhd (PNB), Area Group dan KWEST Group, meliputi kawasan pegangan bebas seluas 220 ekar.

 

Taman perindustrian itu menawarkan lot berkeluasan antara tujuh hingga 36 ekar, selain dilengkapi persekitaran berlandskap, keselamatan 24 jam, kemudahan sukan dan penginapan pekerja yang dibina khusus.

 

Ia turut merangkumi COMPASS SME Precinct yang menyediakan kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) siap bina berkeluasan antara 3,600 hingga 50,000 kaki persegi.

 

COMPASS terletak dalam kawasan perbandaran Kota Sri Langat seluas 2,800 ekar di Banting dan diilhamkan serta dibangunkan oleh The AREA Group menerusi anak syarikatnya, AREA Management Sdn Bhd.

 

Pembangunan berkenaan terdiri daripada COMPASS Industrial & Logistics Hub dan COMPASS SME Precinct yang terletak bersebelahan serta telah siap pada awal tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved