Kontrak baharu di Johor boleh cetus penilaian semula saham Inta Bina, menurut RHB Research

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu di Johor boleh cetus penilaian semula saham Inta Bina, menurut RHB Research Image from: Kontrak baharu di Johor boleh cetus penilaian semula saham Inta Bina, menurut RHB Research hamden11/08/2026 - 10:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Prospek Inta Bina Group Bhd untuk meraih lebih banyak kontrak di Johor serta projek berkaitan pusat data dilihat sebagai pemangkin utama kepada penilaian semula saham syarikat, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peluang mendapatkan kontrak tambahan di Johor semakin kukuh memandangkan beberapa pelanggan jangka panjang Inta Bina seperti Eco World Development Group Bhd dan UEM Sunrise Bhd sedang giat melaksanakan projek di negeri tersebut.

 

"Sebagai rekod, INTA telah memperoleh lebih RM200 juta kontrak di Johor," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Selain itu, kejayaan mendapatkan sebarang kontrak berkaitan pusat data turut menjadi satu lagi pemangkin kepada saham syarikat pembinaan berkenaan, katanya.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'BUY’ terhadap Inta Bina dengan harga sasaran (TP) RM0.67, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 81%, selain hasil kira-kira 5% bagi FY27F.

 

Penilaian itu dibuat selepas Inta Bina memperoleh kontrak bernilai RM115.7 juta daripada Sime Darby Property (KL East) bagi pembinaan 61 unit rumah teres tiga tingkat serta sebuah pencawang elektrik di Setapak, Kuala Lumpur.

 

Projek berkenaan dijadualkan bermula pada 24 Ogos 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

 

Dengan kontrak terbaharu itu, Inta Bina telah meraih kontrak bernilai RM423.7 juta setakat tahun ini, manakala buku tempahan tertunggak kini berjumlah RM1.7 bilion.

 

Sementara itu, nilai buku tender Inta Bina kini mencecah RM3.3 bilion, dengan kumpulan turut memperluaskan jejak operasinya ke negeri lain seperti Negeri Sembilan menerusi kontrak RM49 juta bagi pembangunan hartanah berkaitan industri.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana kontrak terbaharu ini berada dalam andaian penggantian kontrak FY26 kami sebanyak RM800 juta," katanya.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan TP berasaskan jumlah bahagian (SOP) pada RM0.67, yang sebahagiannya diperoleh dengan menilai EPS FY27F berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran tidak berubah sebanyak 11 kali.

 

TP berkenaan turut mengambil kira premium ESG 2%, berdasarkan skor ESG Inta Bina sebanyak 3.1.

 

RHB Research melihat saham Inta Bina kini didagangkan pada hanya 5 kali P/E FY27F, jauh lebih rendah berbanding purata P/E lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia sebanyak kira-kira 14 kali.

 

"Kami melihat diskaun ini tidak wajar, mengambil kira rekod konsisten INTA dalam menambah semula buku tempahan menerusi projek daripada pemaju hartanah terkenal, selain projek hartanah akan datang dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) berpotensi kira-kira RM500 juta," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved