ARCB lancar dana pertumbuhan sektor kesihatan Malaysia

LocalBusiness & Finance
12 Sep 2026 • 6:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ARCB lancar dana pertumbuhan sektor kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat sektor kesihatan Malaysia berpeluang mendapatkan akses kepada pembiayaan dan rangkaian pelabur antarabangsa menerusi pelancaran Kanzun-ARCB Growth Fund oleh ARCB Investment LLC (ARCB).

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama ARCB dengan Kanzun Ventures Management Sdn. Bhd. (Kanzun) dan Healthcare Triangle Inc. (HCTI). Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak.

Kerjasama itu menyasarkan pembentukan rangkaian pelaburan yang menghubungkan syarikat kesihatan Malaysia dengan pelabur dari Asia Barat dan Asia, selain menyediakan laluan berpotensi ke pasaran modal Amerika Syarikat (AS).

ARCB merupakan syarikat pelaburan dan modal strategik berpangkalan di Dubai.

Dana berkenaan diwujudkan bagi mengenal pasti syarikat tempatan yang mempunyai potensi pertumbuhan, sebelum menyediakan sokongan pembiayaan dan akses kepada pasaran serantau serta antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif ARCB Group, Dr. Udesh Chaskar berkata, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk menjadi antara pasaran tumpuan firma itu di rantau ASEAN.

Menurutnya, banyak syarikat kesihatan tempatan yang dibangunkan pengasas Malaysia mempunyai model perniagaan yang kukuh, namun masih berdepan kekangan akses kepada modal institusi, tadbir urus dan rangkaian antarabangsa.

Katanya, perkara itu menjadi antara ruang yang mahu ditangani menerusi platform berkenaan bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan skala perniagaan dan meneroka pasaran baharu.

“Kerjasama dengan Kanzun dan Healthcare Triangle membolehkan kami membina lebih daripada sebuah dana, mewujudkan koridor yang menghubungkan syarikat kesihatan Malaysia dengan modal dari Asia Barat dan seterusnya pasaran modal Amerika Syarikat,” katanya selepas majlis pementerai MoU berkenaan di sini, semalam.

Menerusi kerjasama itu, ARCB akan memberi tumpuan kepada pembentukan modal dengan memanfaatkan rangkaian pejabat keluarga, pelabur institusi serta rakan strategik di Asia Barat, Asia dan pasaran antarabangsa lain.

Kanzun pula akan mengendalikan aktiviti pelaburan dan transaksi di Malaysia, termasuk mengenal pasti syarikat berpotensi, menjalankan usaha wajar dan penilaian, selain mengurus pembangunan portfolio.

HCTI akan melengkapkan kerjasama menerusi kepakaran dalam teknologi kesihatan, khususnya bagi membantu syarikat yang dikenal pasti meningkatkan keupayaan teknologi dan membuat persediaan untuk meneroka pasaran modal AS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kanzun, S. Loganathan berkata, terdapat ruang besar untuk syarikat penjagaan kesihatan tempatan yang mempunyai rekod perniagaan kukuh berkembang ke skala lebih besar.

Beliau berkata, akses kepada modal pertumbuhan, tadbir urus yang lebih kukuh dan teknologi boleh membantu syarikat berkenaan meningkatkan daya saing serta memperluas operasi ke pasaran antarabangsa.

Pengasas dan Pengerusi HCTI, Dr. V. Suresh pula berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan ARCB dan Kanzun dalam menilai peluang pelaburan dalam ekosistem kesihatan Malaysia.

Katanya, HCTI turut akan menilai keperluan teknologi syarikat yang berpotensi, termasuk kesiapsiagaan mereka untuk meneroka peluang di pasaran modal AS. – UTUSAN

The post ARCB lancar dana pertumbuhan sektor kesihatan Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved