
KOTA KINABALU: Sabah membuka peluang lebih luas kepada pelabur Amerika Syarikat (AS) untuk meneroka sektor tenaga bersih dan ekonomi biru sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedudukan strategik Sabah di Asia Tenggara serta kekayaan sumber semula jadi menjadikan negeri itu mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan dalam sektor berasaskan pertumbuhan mampan.
Beliau berkata, selain tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi biru, Sabah turut menawarkan peluang dalam pertanian bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, ekopelancongan, logistik serta perkhidmatan digital.
“Kita mengalu-alukan rakan kongsi yang berkongsi komitmen kita terhadap pembangunan bertanggungjawab, rakan yang bersedia membangunkan perniagaan, membina bakat tempatan, menerima inovasi serta melindungi warisan semula jadi yang menjadikan Sabah unik.
“Kerajaan negeri Sabah komited untuk meningkatkan kesalinghubungan, memudah cara pelaburan serta mewujudkan keadaan yang membolehkan perniagaan berkembang dengan penuh keyakinan.
“Pelaburan di Sabah bukan sekadar pelaburan dalam sebuah pasaran; ia merupakan pelaburan dalam masa depan bersama yang inklusif, mampan dan penuh potensi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 Kemerdekaan AS di sini, malam tadi
Hajiji berkata, hubungan Sabah-AS berlangsung dalam kerangka perkongsian Malaysia-AS yang lebih luas, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.
Menurutnya, kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak bukan sahaja mampu menarik modal, malah berpotensi mewujudkan pekerjaan, memindahkan pengetahuan dan teknologi serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
“Kerjasama yang kukuh mewujudkan pekerjaan, memindahkan pengetahuan, memperkukuh rantaian bekalan dan memastikan pertumbuhan memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Sabah.
“Oleh itu, kita mengalu-alukan pelabur untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan kesalinghubungan, memudah cara pelaburan dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan berkembang dengan penuh keyakinan.
Katanya, Sabah turut mengalu-alukan rakan kongsi yang mempunyai komitmen terhadap pembangunan bertanggungjawab, termasuk membangunkan bakat tempatan, menerima inovasi serta melindungi warisan alam semula jadi negeri.
Dalam pada itu, Hajiji berkata hubungan AS dengan rakyat Sabah mempunyai sejarah panjang sejak 1865, hampir satu abad sebelum pembentukan Malaysia.
Hajiji berkata hubungan berkenaan terus berkembang menerusi program seperti Peace Corps, Fulbright dan American Corner di Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain penglibatan syarikat AS dalam sektor tenaga dan pembangunan komuniti.
Hajiji berkata, hubungan yang dibina berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan kepentingan bersama perlu diteruskan bagi memastikan kerjasama Sabah-AS memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Dengan membina perkongsian berasaskan kemampanan, peluang dan rasa hormat bersama, Sabah dan Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat,” katanya. –UTUSAN
The post Sabah sasar pelaburan AS dalam tenaga bersih, ekonomi biru appeared first on Utusan Malaysia.






