
KUALA LUMPUR – EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif, mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi sekurang-kurangnya sejak 2016 pada suku kedua (S2) 2026, didorong kerjasama penyetempatan automotif bersama pengeluar kenderaan dari China.
Hasil bagi suku berkenaan meningkat 67 peratus kepada RM212.68 juta berbanding RM127.70 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan bersih pula melonjak hampir 19 kali ganda kepada RM5.15 juta berbanding hanya RM280,000 pada S2 2025.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan keupayaan pelaksanaan operasi yang mantap serta kemajuan berterusan dalam pelbagai inisiatif pertumbuhan strategik syarikat.
Menurut beliau, jumlah pengeluaran automotif menerusi kerjasama EPMB dengan GWM, SAIC-MG dan XPENG telah melepasi 1,000 kenderaan sebulan pada S2 2026.
“Pertumbuhan selanjutnya dijangka apabila model-model baharu mula memasuki fasa pengeluaran, selain aktiviti eksport terus dipertingkatkan di seluruh ASEAN serta pasaran antarabangsa yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, EPMB pada Jun lalu memulakan pembinaan fasiliti pengecatan kenderaan baharu di Pegoh, Melaka.
Hamidon berkata, penambahan keupayaan pengecatan kenderaan, yang merupakan antara proses paling maju dari segi teknologi dalam pembuatan kereta, akan memperkukuh usaha syarikat menjadi rakan kongsi pembuatan automotif bersepadu secara menegak kepada syarikat automotif global.
Pada masa sama, EPMB turut memperoleh program komponen baharu bagi model-model Proton dan Perodua yang bakal diperkenalkan.
“Program-program baharu ini, bersama-sama perniagaan pembuatan tempat duduk kami, dijangka menjadi pemacu pertumbuhan positif bagi EPMB,” katanya.
Beliau berkata, EPMB akan terus merealisasikan visinya untuk membangunkan hab pembuatan automotif sehenti yang mampu memenuhi keperluan jenama automotif global.
Usaha itu juga selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.
The post EPMB catat hasil suku tahunan tertinggi sejak 2016 appeared first on Kosmo Digital.






