Art Of Speed Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Kustom Kulture Asia

LocalCars
31 Jul 2026 • 12:06 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Art Of Speed Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Kustom Kulture Asia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bermula sebagai perhimpunan komuniti automotif kustom tempatan kira-kira 15 tahun lalu, Art of Speed (AOS) kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai platform yang menghimpunkan pembina kenderaan terkenal, jenama serta collectors dari seluruh Asia, selari dengan perkembangan pesat budaya gaya hidup automotif di Asia Tenggara.

Bagi tahun ini, Art of Speed 2026 yang bakal berlangsung hujung minggu ini (1 dan 2 Ogos) di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bakal menghimpunkan peserta dari Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Brunei dan Filipina, sekali gus membuktikan evolusi AOS daripada sebuah acara tempatan kepada medan pertemuan utama industri kustom kultur (custom culture) di rantau ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos

Antara tarikan utama edisi kali ini ialah beberapa kenderaan eksklusif yang dibawa khas ke Malaysia sempena festival berkenaan, termasuk:

  • Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dari Jepun
  • Harley-Davidson Shovelhead 1966 daripada Vise Clothing
  • Sembilan kereta modifikasi dan koleksi rare dari Bangkok, Thailand
  • Kenderaan pameran hasil sentuhan bengkel terkenal Jepun, Garage Yoshida dan Garage Defend.

Lebih menarik, kira-kira 15 motosikal chopper klasik akan melakukan konvoi dari Bangkok ke Malaysia bagi memeriahkan festival berkenaan hujung minggu ini.

Ikon talaan (tuning) automotif Jepun, Liberty Walk (LBWK) pula bakal membuat penampilan sulung di AOS. Menerusi kerjasama bersama Wishlist Project dan EXN Lube, Liberty Walk akan memperkenalkan Nissan Skyline R34 Super Silhouette pertama di Malaysia. Pada masa sama, AOS turut bekerjasama dengan LBWK bagi menghasilkan koleksi barangan eksklusif edisi khas.

Pengarah festival, Asep Ahmad Iskandar, berkata peningkatan penyertaan antarabangsa adalah hasil usaha berterusan pihak penganjur dalam membina hubungan erat dengan komuniti automotif kustom global, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, AOS kini mempunyai rangkaian kukuh bersama pembina kenderaan dan jenama dari Amerika Syarikat, Eropah serta Jepun, namun tumpuan utama masih diberikan kepada usaha memperkukuh ekosistem budaya kustom di rantau ini.

“Jenama antarabangsa melihat sendiri apa yang telah kami bina di sini dan sumbangan kami kepada pembangunan kustom kulture di rantau ini.”

Beliau berkata, festival itu kini menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai jenama bertaraf dunia seperti Hot Wheels, Harley-Davidson, Vespa, Kyosho dan DJI.

Katanya lagi, peluang untuk mengembangkan komuniti itu mencerminkan pendekatan inklusif AOS yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran peminat tanpa mengira latar belakang.

Sejak diperkenalkan pada 2012, pengaruh antarabangsa AOS berkembang dengan ketara. Penganjuran awalnya menerima penyertaan pembina kenderaan dari Jakarta, Bangkok dan Singapura sebelum berjaya menarik penyertaan jenama global seperti MOONEYES, yang mula menyertai festival itu pada 2013 dan kekal sebagai rakan kerjasama sehingga hari ini.

Selepas lokasi acara berpindah ke MAEPS pada 2015, AOS terus berkembang daripada sekadar mempamerkan kereta dan motosikal kustom kepada festival gaya hidup automotif yang menggabungkan elemen seni, fesyen, muzik serta barangan koleksi.

Festival itu turut memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti pengumpul diecast tempatan menerusi penganjuran Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang kini memasuki edisi keempat.

Diadakan serentak bersama AOS, konvensyen itu berkembang menjadi antara perhimpunan Hot Wheels paling berprestij di rantau ini dengan kehadiran pengumpul dari seluruh Asia Tenggara, selain menampilkan model edisi khas konvensyen dan kemunculan pereka rasmi Hot Wheels.

Edisi kali ini bakal menampilkan Ronald Wong, Ketua Pereka Produk bagi Hot Wheels Premium, yang terkenal menerusi penghasilan pelbagai model koleksi buruan peminat. Sementara itu, Hall C akan menjadi lokasi pameran Nissan Skyline GT-R yang dianjurkan bersama Malaysia Skyline Owners Group.

Di sebalik pelbagai pameran yang disediakan, penganjur melihat festival itu sebagai manifestasi kepada perkembangan ekonomi kreatif, apabila budaya automotif, reka bentuk, fesyen, muzik dan barangan koleksi semakin bergabung menjadi satu ekosistem gaya hidup yang dekat dengan generasi muda di rantau ini.

Dengan kehadiran pembina kenderaan luar negara yang sanggup menghantar motosikal dan kereta mereka ke Malaysia khusus untuk menyertai festival ini, Art of Speed kini bukan sekadar menjadi pentas mempamerkan kustom kulture, malah semakin memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap budaya automotif kustom Asia Tenggara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved